KUALA LUMPUR – Semua 14 Adun Umno di Negeri Sembilan yang sebelum ini menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekiranya terdapat sebarang isu berbangkit selepas ini, ia akan diuruskan oleh pimpinan tertinggi parti berlandaskan perjanjian yang sudah dimeterai semalam antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jadi keputusan sekarang ialah Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal, maka mereka (14 Adun) kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Jemaah Menteri pada hari ini turut mengambil maklum bahawa isu yang membabitkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang sudah berjaya diurus dan diselesaikan dengan baik selepas pertemuan pimpinan tertinggi Umno dan Pakatan Harapan (PH) semalam.
“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal mentadbir dengan dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin,” katanya ketika sidang media mingguan pada Rabu menjawab persoalan sama ada 14 Adun Umno di Negeri Sembilan kembali memberi sokongan kepada Menteri Besar, lapor BH.
Pada 27 April lalu, 14 Adun Umno Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin susulan krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri itu.
Ketika ditanya sama ada pertemuan diadakan semalam itu ada berbincang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, Fahmi memaklumkan isu itu tidak disentuh kedua-dua parti.



