SEREMBAN, 6 Mei — UMNO Negeri Sembilan menegaskan parti itu menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan negeri, namun kekal hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, pendirian itu dibuat demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat, selain memastikan krisis berkaitan adat dan pentadbiran negeri diselesaikan mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Kenyataan itu menyusul selepas 14 ADUN Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan pada Isnin lalu menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar susulan krisis kepimpinan negeri, namun perkembangan selepas itu menyaksikan Biro Politik UMNO Malaysia menetapkan ADUN BN kekal menyokong Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negeri.
Sebelum ini, lima ADUN Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 ADUN BN bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran sekiranya berlaku perubahan kepimpinan negeri.
“UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk kita mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan seperti mana yang diputuskan di dalam Biro Politik UMNO Malaysia dan Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mustapha menegaskan semua ADUN UMNO BN akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa, memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan memastikan khidmat bakti kepada rakyat diteruskan.
“Kami kekal hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di Negeri Sembilan dapat diselesaikan dengan baik, harmoni dan mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta tatacara adat sebenar.
Mustapha dalam masa sama menyeru rakyat menghormati segala proses yang sedang berlaku dan tidak mengeluarkan sebarang komen berbentuk provokatif, apatah lagi menghina institusi adat di Negeri Sembilan.
Kenyataan itu diakhiri dengan ungkapan, “Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah.”



