SEREMBAN, — Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan untuk melalui proses Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya isu kehilangan kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun perlu diuji secara rasmi.
Pendirian itu dinyatakan menerusi dokumen Soalan Lazim UMNO & Barisan Nasional Negeri Sembilan yang dikeluarkan bagi menjelaskan keputusan parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar susulan krisis institusi adat dan perlembagaan negeri.
Menurut dokumen tersebut, BN menghormati proses perlembagaan dan proses DUN, termasuk sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan dalam persidangan akan datang.
BN berkata pemakluman rasmi berhubung pendirian 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN selepas sidang media.
“Menteri Besar sendiri dilaporkan menyatakan tiada masalah untuk ahli Dewan mengusulkan undi tidak percaya dalam persidangan akan datang,” menurut dokumen itu.
BN menegaskan, jika keyakinan terhadap Menteri Besar dipersoalkan, jalan terbaik ialah membenarkan proses perlembagaan berjalan secara jelas, terbuka dan tertib.
“Bagi UMNO/BN, jika keyakinan terhadap Menteri Besar dipersoalkan, maka jalan terbaik ialah membenarkan proses perlembagaan berjalan secara jelas, terbuka dan tertib,” menurut dokumen berkenaan.
Sebelum ini, semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan dilaporkan sebulat suara hilang kepercayaan kepada Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.
Keputusan itu dikaitkan dengan cara Menteri Besar mengurus krisis melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, selain dakwaan bahawa Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan dalam perbincangan kerajaan negeri sebelum isu berkenaan menjadi kritikal.
BN bagaimanapun menafikan tindakan itu bermaksud parti berkenaan mahu melakukan “tebuk atap” atau membelakangi proses perlembagaan.
Sebaliknya, BN berkata pihaknya membuat pendirian secara terbuka dan apa-apa langkah selepas ini mesti dilakukan mengikut lunas Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses yang sah.
Dokumen sama turut menegaskan fokus BN ketika ini bukan soal jawatan atau pembentukan kerajaan baharu, tetapi krisis keyakinan terhadap Menteri Besar dan keperluan mengembalikan kestabilan negeri.
“Fokus utama ialah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar dan keperluan mengembalikan kestabilan negeri mengikut proses perlembagaan,” menurut dokumen itu.
BN juga berkata pendiriannya bukan bertujuan menolak kestabilan kerajaan negeri, sebaliknya mahu kestabilan dikembalikan melalui keyakinan, ketelusan, kebijaksanaan kepimpinan dan penghormatan kepada institusi.
Menurut dokumen tersebut, kestabilan bukan sekadar kerajaan terus berjalan, tetapi juga memerlukan pentadbiran yang tidak mencetuskan kekeliruan rakyat.
BN turut menegaskan pendirian parti itu bukan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya terhadap cara Menteri Besar mengurus krisis yang melibatkan adat dan perlembagaan negeri.
“Pendirian UMNO/BN bukan terhadap Tuanku. Pendirian UMNO/BN adalah terhadap cara Menteri Besar mengurus krisis yang melibatkan adat dan perlembagaan negeri,” menurut dokumen itu.



