Bank Rakyat lancar 20 kemudahan stesen pengecas EV, sokong peralihan tenaga negara

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat, melalui kerjasama dengan penyedia penyelesaian tenaga lestari, Cenergi SEA Berhad dan Recharge Xolutions, telah melancarkan 20 kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Rakyat, dekat sini baru-baru ini.

Inisiatif ini menjadikan Bank Rakyat antara institusi kewangan terawal yang menyediakan kemudahan pengecas EV di premisnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, pelancaran kemudahan pengecas EV ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank Rakyat dalam menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik bagi memacu peralihan negara kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan lestari, di samping menyokong aspirasi negara ke arah mencapai Net Zero 2050.

Beliau berkata pada masa yang sama, inisiatif ini menyokong usaha kerajaan dalam menangani cabaran krisis bekalan global melalui pendekatan mampan yang menekankan kestabilan bekalan tenaga negara.

“Bersempena dengan Hari Bumi pada 22 April, inisiatif ini turut mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam mengurangkan jejak karbon serta memperluas peranannya dalam agenda kelestarian negara,”katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, inisiatif ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara Bank Rakyat dan Cenergi dalam pelaksanaan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di cawangan terpilih bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta kecekapan tenaga operasi Bank.

“Bank Rakyat terus memperkukuh peranan dalam pembiayaan hijau melalui penawaran produk dan perkhidmatan bagi segmen runcit dan perniagaan.

“Bagi pelanggan runcit, pembiayaan disediakan untuk menyokong gaya hidup mesra alam termasuk kecekapan tenaga, manakala bagi sektor perniagaan, kemudahan pembiayaan ditawarkan untuk membantu syarikat beralih kepada teknologi hijau dan operasi rendah karbon,”tambahnya.

Tambahnya lagi, Bank Rakyat juga giat melaksanakan inisiatif ke arah pensijilan Green Building Index (GBI) melalui peningkatan kecekapan tenaga serta pengurusan fasiliti mampan di premisnya.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat