Pelaksanaan cukai karbon dikaji semula – Arthur

KUALA LUMPUR — Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan sedang meneliti semula cadangan untuk melaksanakan cukai karbon dengan mengambil kira keadaan semasa yang dipengaruhi oleh krisis bekalan tenaga serta ketegangan geopolitik.

Menurut beliau, cukai tersebut yang sebelum ini dirancang untuk diperkenalkan tahun ini dan menyasarkan sektor tertentu seperti industri keluli, simen serta pembinaan, berkemungkinan ditangguhkan bagi mengelakkan tekanan tambahan kepada industri dan pengguna ketika ekonomi global masih tidak menentu.

“Kita perlu sensitif terhadap keadaan semasa, termasuk faktor ekonomi dan geopolitik. Kerajaan tidak mahu menambah beban kepada industri mahupun rakyat dalam situasi sekarang.

“Oleh itu, pelaksanaan cukai karbon ini mungkin akan dikaji semula,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perubahan Iklim dan Kelestarian 2026 di Hotel M World, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertanggungjawab membangunkan rangka kerja berkaitan perdagangan karbon, pelaksanaan cukai karbon adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa langkah ini tidak bermaksud kerajaan memperlahankan agenda perubahan iklim negara.

“Kami berharap industri dan masyarakat tidak melihat perkara ini sebagai alasan untuk menangguhkan usaha menangani perubahan iklim,” katanya.

Tambah beliau, ketidaktentuan harga bahan api dan tenaga ketika ini sebenarnya mengukuhkan lagi keperluan Malaysia untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi hijau serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.

“Sama ada dalam krisis atau tidak, kita tidak boleh terus bergantung kepada bahan api fosil. Peralihan ini tetap perlu dilaksanakan ia hanya soal masa,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat