Oleh Zihan Zari
SEMENYIH – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan fasa pertama Program Minggu Sains Negara (MSN) 2026, dikenali sebagai ‘Road to MSN 2026’ dengan tumpuan khusus kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).
MOSTI menyasarkan penglibatan seramai 1.15 juta peserta di seluruh negara menyertai MSN 2026, dengan fokus untuk memperluas akses dan penyertaan masyarakat dalam program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Majlis Peluncuran MSN 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang di University of Nottingham Malaysia (UNM) dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Provost UNM, Professor David Fitzpatrick; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Dato’ Ruziah Shafei; Vice Provost (Research and Knowledge) UNM, Professor Ir. Dr. Mohd Shahir Liew; Pengarah Pusat Sains Negara (PSN), Dr. Norzilawati Md Kamsor; dan Rakan MySains.
Lih Kang berkata MSN 2026 merupakan antara inisiatif utama Kerajaan dalam menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.
“Pelaksanaan tahun ini MSN tampil lebih dinamik melalui pengisian MOSTI TECHTalks 2026 Siri 1, yang bertujuan menterjemah aspirasi merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi dalam kalangan masyarakat.
“Dalam konteks geopolitik global yang semakin mencabar, keupayaan negara membangunkan bakat teknologi tempatan menjadi semakin kritikal bagi memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna, tetapi juga pencipta teknologi.
“Usaha ini penting dalam memperkukuh kedaulatan teknologi negara serta mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dalam sektor strategik, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, inisiatif MSN 2026 selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyokong kemasukan pelaburan berkualiti.
Dalam pada itu, MOSTI menyasarkan penyertaan pelajar sekolah, komuniti institusi pendidikan tinggi (IPT), serta masyarakat setempat, strategi pelaksanaan MSN 2026 kepada tiga fasa.
“Fasa pertama, Peluncuran Road to MSN 2026 yang bermula pada bulan April dan fasa kedua, MSN 2026 @ Zon, melibatkan penganjuran karnival sains secara fizikal di lima lokasi strategik seluruh negara (Utara, Selatan, Timur, Sabah, dan Sarawak) bermula Mei hingga Oktober ini.
“Manakala fasa ketiga, MSN 2026 @ Finale, sebagai acara kemuncak di Zon Tengah pada November yang akan disepadukan dengan Sambutan Hari Sains Sedunia, ”katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurutnya, konsep karnival fizikal di lokasi strategik ini adalah untuk memastikan aktiviti pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dijalankan secara bersasar dan berfokus, terutamanya bagi memberikan akses kepada komuniti di pinggir dan luar bandar.
Pendekatan interaktif dan hands-on melalui pameran serta eksperimen langsung dijangka lebih berkesan dalam menarik minat pelajar terhadap bidang STEM berbanding kaedah pembelajaran formal.
Menurutnya lagi, penganjuran MSN 2026 turut akan memperlihat kolaborasi erat antara MOSTI dengan Rakan MySains dan IPT terpilih sebagai rakan pelaksana utama bagi memanfaatkan kepakaran teknikal, fasiliti, dan rangkaian industri mereka.
Antara rakan strategik yang terlibat termasuklah PSN, Planetarium Negara (PN), PetroSains, Tech Dome Penang, serta pelbagai universiti tempatan mengikut zon masing-masing.
Tambahnya, dengan sasaran penyertaan yang inklusif dan menyeluruh, MOSTI komited untuk meningkatkan literasi masyarakat terhadap kepentingan STI sebagai pemacu kesejahteraan dan kualiti hidup selaras dengan nilai Malaysia MADANI. -SUARA.TV



