Jawatan milik institusi parti, Bersatu gesa MP dipecat segera dipindah ke blok Bebas – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendesak Dewan Rakyat menyegerakan pemindahan tempat duduk Ahli Parlimen yang telah dipecat ke blok Bebas bagi mencerminkan kedudukan politik sebenar.

Menurut Tun Faisal, dalam konteks Dewan Rakyat Malaysia, seseorang yang bukan lagi ahli parti tidak mempunyai legitimasi untuk terus berada dalam blok parti asal atau gabungan pembangkang rasmi.

“Oleh itu, Ahli Parlimen yang telah dipecat sewajarnya dipindahkan segera ke blok Bebas bagi mencerminkan kedudukan politik sebenar.

“Begitu juga dengan semua jawatan yang diperoleh atas kuota parti atau blok pembangkang seperti Ketua Pembangkang, Ketua Whip, pengerusi jawatankuasa Parlimen, dan portfolio pembangkang hendaklah dianggap terbatal secara prinsip apabila seseorang Ahli Parlimen kehilangan status keahlian parti. Jawatan-jawatan tersebut adalah milik institusi parti dan blok pembangkang, bukannya hak peribadi individu.

“Kelewatan dalam melaksanakan pemindahan status dan penggantian jawatan bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah boleh menjejaskan kredibiliti Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang dan institusi semak dan imbang dalam Parlimen.

“Ia juga memberi gambaran kelemahan dalam pengurusan disiplin politik sekiranya tidak ditangani dengan tegas,” kata Tun Faisal.

Hal demikian katanya, tindakan segera perlu diambil untuk memaklumkan secara rasmi status pemecatan kepada Speaker Dewan Rakyat dan memindahkan Ahli Parlimen yang dipecat ke blok Bebas tanpa kelewatan.

“Juga melucutkan jawatan kuota pembangkang yang dipegang dan menggantikannya dengan wakil parti yang sah dan menyusun semula struktur kepimpinan blok pembangkang agar selaras dengan kedudukan politik semasa.

“Langkah ini penting bagi memastikan integriti institusi Parlimen terpelihara, keputusan parti dihormati, dan kredibiliti pembangkang kekal utuh.

“Kejelasan kedudukan politik adalah asas kepada kestabilan sistem demokrasi berparlimen, dan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian yang sewajarnya” ujarnya.

Memperincikan perkara ini, Tun Faisal memaklumkan Ahli Parlimen Larut telah dipecat pada 13 Februari 2026. Ini bermaksud sudah 11 hari berlalu sejak pemecatan tersebut, namun dia masih berada dalam blok pembangkang dan masih memegang jawatan Ketua Pembangkang.

“Manakala Ahli Parlimen Tasik Gelugor pula dipecat pada 13 Oktober 2025, dan selepas lebih empat bulan dipecat, dia juga masih kekal di blok pembangkang dan memegang jawatan dalam portfolio pembangkang.

“Kelewatan pemindahan ini perlu diambil serius oleh Perikatan Nasional kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen.

“Prinsipnya adalah jelas. Apabila seseorang Ahli Parlimen dipecat daripada parti, hubungan keahlian dengan parti tersebut terputus serta-merta. Walaupun kerusi Parlimen tidak menjadi kosong di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan Malaysia, kedudukan politik individu tersebut berubah kepada Ahli Parlimen Bebas kerana beliau tidak lagi mewakili mana-mana parti.

“Dalam tradisi Westminster yang diikuti Malaysia, “Independent Member of Parliament” merujuk kepada wakil rakyat yang: tidak bernaung di bawah mana-mana parti; bertindak atas kapasiti individu dan tidak tertakluk kepada whip parti.

“Kategori ini termasuk: calon bebas yang menang pilihan raya; ahli keluar parti dan ahli dipecat parti,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat