KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memilih untuk memantau rapat keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan bahawa pengenaan
tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (International Emergency Economic Powers Act –IEEPA) oleh Presiden AS Donald Trump adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Dalam situasi ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru melibatkan perkara ini.
“Kita hanya mungkin pantau, tapi kita tidak mahu dalam keadaan sekarang ambil keputusan yang gopoh, yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita, kerana eksport Malaysia ke AS adalah RM233.1 bilion, ini terlalu tinggi, dan perdagangan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat itu berjumlah RM367.5 bilion.
“Jadi, kita kena lihat kepentingan umum. Walau bagaimanapun, saya setuju gesaan kita harus pantau dari dekat apa kesannya, apa tindakan susulan oleh Presiden AS, apakah ada lagi peruntukan-peruntukan yang akan digunakan untuk mengelak daripada penafsiran Mahkamah Agung dan bagaimana pendirian Kongres dalam masa terdekat.
Anwar menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkenaan pendirian kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang dikenakan oleh Trump sebagai tidak sah.
“Terima kasih Hulu Tengganu. Seperti yang kita tahu, keputusan itu masih awal, itu 20 Februari yang lalu. Ini satu keputusan yang agak serius, yang harus diberikan perhatian.
“Kerana Mahkamah Agung Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa pengenaan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (International Emergency Economic Powers Act –IEEPA) oleh Presiden AS adalah tidak sah di sisi undang-undang.
“Jadi tentunya bagi negara yang mengikuti, bukan sahaja Malaysia, tapi semua negara-negara sedang memantau dari dekat.
“Cuma kita harus ambil perhatian, iaitu perjanjian ini dengan Malaysia dan Amerika masih belum berkuat kuasa, kerana proses ratifikasi itu kalau dalam undang-undang yang sedia ada, perjanjian yang sedia ada, dia tertakluk pada proses ratifikasi dan sehingga semalam Amerika belum mencadangkan tarikh untuk ratifikasi, jadi masih tertangguh di situ, tetapi kita juga mengambil kira apa implikasi dan kesan sepertimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat.
“Tapi sebagaimana kita tahu, perintah eksekutif ini kesan sementara bagi Malaysia itu baik, kerana dia turun ke 10 peratus daripada 19 peratus yang dahulunya. Yang kedua, ini pun, maknanya dia tinggal 15 peratus daripada 19 turun. Jadi, tinggal 15 peratus daripada 19 ini di peringkat awal. Tapi ini berkuatkuasa hanya 150 hari.
“Jadi, apakah kita tunggu sehingga selesai? Tapi kita sentiasa pantau. Dan kita juga tahu bahawa Amerika Syarikat, Presidennya yang mungkin menggunakan seksian 122 IEEPA ini.
“Jadi, kita belum tahu. Kemudian, apakah Kongres Amerika Syarikat akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung atau berbeda pendapat, itu pun masih belum dipastikan.
“Jadi, Perintah Eksekutif tentang tarif global baru ini, bagi saya, harus dipantau dari dekat dan melihat dari segi kepentingan ekonomi Malaysia. Dari sudut perdagangan, kita terus di peringkat sekarang, kerana apa yang dikenakan sebelumnya itu tidak kepada syarikat Malaysia. Syarikat Amerika yang melabur. Jadi, yang dikenakan itu melibatkan syarikat mereka.
“Tetapi setakat ini, seperti mana saya tegaskan, yang bermakna kita hanya mungkin pantau, tapi kita tidak mahu dalam keadaan sekarang ambil keputusan yang gopoh, yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita, kerana eksport Malaysia ke AS adalah RM233.1 bilion, ini terlalu tinggi, dan perdagangan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat itu berjumlah RM367.5 bilion.
“Jadi, kita kena lihat kepentingan umum. Walau bagaimanapun, saya setuju gesaan kita harus pantau dari dekat apa kesannya, apa tindakan susulan oleh Presiden, apakah ada lagi peruntukan-peruntukan yang akan digunakan untuk mengelak daripada penafsiran Mahkamah Agung dan bagaimana pendirian Kongres dalam masa terdekat,” kata Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.



