KUALA LUMPUR, – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa wujud satu gerakan terancang menggunakan pempengaruh media sosial untuk melancarkan serangan terhadap beliau tanpa bukti, susulan kontroversi tuduhan rasuah berkaitan dasar ekonomi negara ketika beliau mengetuai Kementerian Ekonomi.
Menurut Rafizi, tuduhan-tuduhan yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan dua dasar utama kerajaan iaitu Program Visi Silikon yang melibatkan kerjasama strategik dengan syarikat cip global ARM, serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menjadi asas kepada pelaburan tenaga boleh baharu bernilai berbilion ringgit.
Beliau bagaimanapun menegaskan tuduhan tersebut tidak disertakan sebarang bukti kewangan yang menunjukkan berlaku rasuah atau kebocoran dana awam, malah menegaskan Kementerian Ekonomi hanya berperanan sebagai perancang dasar dan tidak mempunyai kuasa melaksanakan perolehan atau menganugerahkan kontrak.
“Fakta-fakta yang saya kongsi setakat ini jelas menunjukkan bahawa saya atau Kementerian Ekonomi tidak ada kuasa atau terbabit dalam apa-apa urusan komersial syarikat swasta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rafizi turut mendakwa terdapat pihak yang menggunakan pempengaruh media sosial untuk membentuk persepsi awam kononnya beliau terlibat dalam penyelewengan, termasuk tuduhan bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam projek tenaga boleh baharu yang dibangunkan oleh syarikat swasta.
Beliau secara khusus menamakan pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau Caprice, yang didakwa membuat kandungan menuduh beliau menganugerahkan projek kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan dirinya, sekali gus cuba menggambarkan beliau menerima rasuah.
“Saya akan terus bentangkan fakta-fakta yang lebih mendalam dalam minggu ini… selepas fakta-fakta ini dibentangkan, saya memberi peluang kepada Caprice untuk menyiarkan fakta-fakta itu kepada pendengarnya dan meminta maaf kepada saya kerana memfitnah,” katanya.
Menurut Rafizi, beliau telah mengarahkan peguamnya bersiap sedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Caprice gagal mengemukakan bukti atau menarik balik tuduhan tersebut.
“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian setelah diberi peluang, saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan tindakan saman terhadap beliau,” katanya.
Rafizi turut menegaskan bahawa kerjasama kerajaan dengan ARM telah melalui proses kelulusan rasmi termasuk rundingan antara kementerian, semakan Jabatan Peguam Negara serta kelulusan Kabinet, selain melibatkan rundingan di peringkat tertinggi termasuk Perdana Menteri.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa projek tenaga boleh baharu di bawah NETR melibatkan campur tangan beliau, sambil menegaskan projek tersebut merupakan pelaburan swasta sepenuhnya tanpa melibatkan perolehan kerajaan atau dana awam.
Dalam masa sama, Rafizi membayangkan bahawa serangan terhadap beliau berlaku dalam konteks yang lebih besar, termasuk selepas beliau secara terbuka mempersoalkan integriti kepimpinan SPRM dan menuntut tindakan diambil terhadap Ketua Pesuruhjaya agensi itu.
Beliau menegaskan akan terus mempertahankan dirinya dan mendedahkan fakta lanjut dalam masa terdekat bagi menjawab tuduhan yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan bermotifkan serangan politik.



