173 ketua isi rumah terkesan banjir di Pendang terima BWI

Oleh Zihan Zari

PENDANG – Seramai 173 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat bencana banjir di Pendang telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 setiap seorang sebagai sokongan awal pemulihan pasca bencana.

Peruntukan itu telah disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Kedah.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul telah menyantuni mangsa banjir di Majlis Penyerahan BWI Daerah Pendang di Dewan Al-Marbawi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah ICU Kedah, Dato’ Hj. Zepri Saad; Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato ’ Mohd Sheriff; Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain; dan Pengetua SMK Pendang, Azman Ahmad.

Johari berkata, musibah banjir tersebut telah meninggalkan kesan besar kepada kediaman, harta benda serta sumber pendapatan penduduk setempat, mudah-mudahan dengan BWI ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung.

“Insya-Allah, dengan sokongan berterusan semua pihak, warga Pendang akan terus kuat dan bangkit bersama, ”katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi -tinggi penghargaan kepada semua agensi terlibat, termasuk APM, Pejabat Daerah Pendang, pasukan keselamatan serta para sukarelawan atas kerjasama erat dan komitmen tinggi dalam memastikan bantuan ini disampaikan dengan cekap dan teratur.

Pada Oktober tahun lalu, kesemua mangsa yang terkesan akibat bencana banjir telah ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Intan Safinaz, SK Ayer Puteh dan Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.

BWI turut diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pendang.

Terdahulu, Johari yang juga Ahli Majlis Pengakap Negara berkata, Pengakap bukan sahaja bermula di sekolah malah kaedah kepengakapan berasaskan komuniti (community based scouting) perlu disebarluaskan di kampung-kampung, kawasan-kawasan bandar, dan di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Apabila berlaku malapetaka seperti banjir Pengakap komuniti bersedia untuk membantu APM menangani apa jua situasi dan kecemasan yang boleh berlaku pada bila-bila masa serta boleh menghulurkan bantuan dengan segera,”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat