CYBERJAYA : Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, menegaskan beliau kekal dengan pendirian yang pernah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Januari 2022 berhubung kontroversi pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik hari ini, Lim yang ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Agung DAP berkata, Majlis Presiden PH pada 12 Januari 2022 telah menggesa agar Azam serta dua individu lain digantung tugas bagi memberi laluan kepada siasatan bebas berhubung dakwaan pegangan saham.
Menurut beliau, pada waktu tersebut Azam terpalit dengan kontroversi pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM772,000. Pegangan itu kemudiannya dilaporkan berkurangan kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016 dengan nilai sekitar RM340,000.
Lim turut menyatakan bahawa Azam juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.
Beliau berkata, isu sama kembali timbul apabila rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan bahawa Azam pada satu ketika tahun lalu memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Memetik laporan Malaysiakini, Lim berkata saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli pada harga sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru Technology dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada satu ketika.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa cadangan asal Majlis Presiden PH pada 2022 masih relevan, iaitu supaya penggantungan sementara dibuat bagi memastikan siasatan berjalan secara bebas dan telus.
Lim turut mencadangkan agar isu berkenaan dibahaskan sebagai satu usul khusus di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac 2026.
Menurutnya, perbahasan di Dewan Rakyat penting bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan negara terus terpelihara.



