Pilihan raya Kampus POLIMAS, 92 peratus mahasiswa pilih nakhoda baharu

Oleh Zihan Zari

JITRA – Pilihan raya Kampus (PRK) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) 2026 telah melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang apabila mencatatkan peratusan keluar mengundi luar biasa sebanyak 92.08 peratus (%), yang berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS dekat sini baru-baru ini.

Seperti pilihan raya umum atau negeri, pilihan raya kampus adalah sebahagian proses demokrasi bagi mahasiswa POLIMAS diberi mandat memilih barisan kepimpinan baharu daripada 59 calon yang bertanding bagi merebut 27 kerusi strategik (7 Umum, 15 Sektor, dan 5 Jabatan).

Proses pengundian bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang itu di dewan tersebut dibanjiri mahasiswa yang bersemangat untuk menentukan nakhoda baharu mereka.

Keputusan rasmi pilihan raya tersebut telah diumumkan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari yang juga Pengerusi Jawatankuasa PRK mengesahkan bahawa daripada 3,029 pelajar yang layak, seramai 2,789 mahasiswa telah keluar mengundi.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Keputusan PRK POLIMAS menyaksikan Muhammad Alif Luqman Mahadi muncul sebagai nakhoda baharu dengan meraih undi tertinggi kerusi umum dengan jumlah 306 undi sekaligus sebagai jambatan penghubung antara pelajar dan pentadbiran , serta membawa suara pemegang taruh utama di POLIMAS.

Aspirasi Kepimpinan Masa Hadapan

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, menyatakan rasa bangga beliau terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh warga kampus.

“Kehadiran pemilih yang melebihi 92 % ini adalah bukti mahasiswa kita peka dengan tanggungjawab demokrasi. Ini selari dengan slogan ‘Dari Bintang Kampus ke Pemimpin Masa Hadapan’.

“Kita bukan sekadar mahu melahirkan graduan yang cemerlang akademik, tetapi pemimpin yang mempunyai mandat dan integriti,”katanya.

Suara Mahasiswa: Teruja dan Berdebar

Pelbagai reaksi daripada pelajar yang pertama kali merasai pengalaman mengundi secara rasmi, antaranya pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan, Ku Hanis Rusydina Ku Rosli, tidak menyembunyikan perasaan bangganya.

“Saya rasa sangat teruja dapat mengundi dan menjadi sebahagian daripada proses pemilihan pemimpin kami sendiri,”katanya.

Bagi pelajar Diploma Pemasaran, Nurzulaikha Dania Afrina Zuhaimi berkata pengalaman tersebut dirasai dengan penuh debaran.

“Rasa berdebar juga untuk mengundi calon pilihan saya, tapi saya harap siapa pun yang menang dapat menjalankan amanah dengan baik,”ulasnya.

Sementara itu, dua pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Muhammad Airel Naufal Abd Rahman dan Ku Akmal Ridwan Ku Muhamad Zaidi, menyifatkan pengundian serentak di seluruh Politeknik Malaysia ini sebagai simbol solidariti rakan-rakan seperjuangan dalam menyokong rakan yang bergelar calon.

Kejayaan PRK POLIMAS 2026 ini membuktikan mahasiswa kini semakin matang dalam berpolitik dan cakna dalam mencorakkan masa depan organisasi mereka selaras dengan aspirasi negara.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat