KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan memberi jaminan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan mengembalikan bantuan sejumlah RM100,000 secara bersasar kepada komuniti India yang memerlukan tahun ini mengikut daerah merekodkan berkepadatan penduduk tertinggi.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Madani bagi masyarakat India berkata, perkara itu sebelum ini tidak diteruskan memandangkan MITRA memberi fokus kepada inisiatif lain.
“Sebelum ini pada 2024, memang dirancang untuk bantuan RM100,000 diberikan kepada penduduk India merangkumi lokasi dengan kepadatan penduduk paling besar. Ia bukan ikut (kawasan) Parlimen tetapi ikut daerah yang ada kepadatan masyarakat India tempatan.
“Tetapi pada 2024 (ia tak dibuat) kerana ada banyak program berlainan contohnya pemerkasaan rumah ibadat, bantuan penyelenggaraan sekolah, program tadika, kemudahan awam dan pekerja ladang.
“Bagaimanapun, saya boleh beri jaminan, tahun ini kita pastikan untuk buat semula program sama untuk berikan sedikit peruntukan tambahan secara bersasar sebab ahli Parlimen lebih tahu daripada kita yang duduk di MITRA, masyarakat India yang betul-betul memerlukan bantuan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Ramanan berkata demikian menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai kesediaan untuk MITRA mempertimbang memberikan dana khas kepada pusat khidmat Parlimen untuk disalurkan terus kepada masyarakat India yang memerlukan.
Ramanan turut menjawab soalan asal Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai jaminan kerajaan untuk MITRA terus menjalankan tugasnya dengan berkesan, mengambil kira ia kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), satu daripada kementerian yang memikul pelbagai tugas besar.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menjelaskan, penempatan MITRA di bawah KESUMA tidak mengubah mandat asalnya sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonmi masyarakat India.
Katanya, langkah berkenaan memperkukuh komitmen kerajaan Madani dalam memastikan agenda kesejahteraan, mobiliti sosial dan pembangunan modal insan masyarakat India dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.
“Langkah ini bertujuan memastikan perancangan pelaksanaan dan pemantauan program MITRA dapat dilaksana secara lebih teratur, sistematik dan berkesan selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial di bawah KESUMA, pada masa sama ia turut perkukuh tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan peruntukan dan program MITRA,” katanya.
Beliau berkata KESUMA komited dalam membantu melaksanakan mandat MITRA melalui kerjasama rentas agensi, pemantauan bersepadu dan pada masa sama, penyelarasan dasar dengan fokus utama MITRA iaitu pembangunan sosioekonomi masyarakat India.



