KUALA LUMPUR – Pas menyangkal dakwaan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz kononnya ketamakan Pas telah mengorbankan hubungan dengan Bersatu.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Tun Faisal dan beberapa kerat pemimpin anda yang tamak.
“Masuk Bersatu pada tahun 2023 selepas PRU, dan pandai-pandai label Pas sebagai tamak dan pemimpinnya gila jawatan.
“Jika Pas tamak, Pas tidak serahkan jawatan ketua pembangkang kepada parti lain walhal Pas mempunyai kerusi paling banyak.
“Jika Pas tamak, sejurus selepas PRU, Pas akan terus menuntut jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kerana jumlah kerusi Pas lebih banyak.
“Tetapi Pas hanya bangkitkan soal Pengerusi PN hanya selepas melihat arah tuju Bersatu yang semakin membimbangkan dan memberi kesan kepada PN,” tegas Fadhli.
Menurut Fadhli, Pas hanya mahu selamatkan situasi, bergerak dengan gerak kerja sepatutnya menjelang PRU16.
“Anda dan beberapa kerat pemimpin anda nampaknya tidak berminat ke arah itu,” selar beliau.



