Malaysia nafi dakwaan beri 5,207 hektar tanah kepada Indonesia, tegaskan isu sempadan bukan pampasan

PUTRAJAYA, — Malaysia menegaskan laporan media Indonesia yang mendakwa negara ini memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, rundingan penandaan dan pengukuran sempadan darat Malaysia–Indonesia di kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) dilaksanakan secara harmoni dan tidak pernah bersandarkan prinsip timbal balik, pampasan atau konsep untung-rugi.

“Kementerian menegaskan laporan media bertarikh 22 Januari 2026 yang menyatakan Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan berdekatan sempadan Sabah–Kalimantan adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan portal Tempo.co dari Indonesia yang memetik Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan (BNPP), Makhruzi Rahman, mendakwa tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara Kabulangalor, Lepaga dan Tetagas kini telah ditetapkan sebagai sebahagian wilayah pentadbiran Malaysia selepas berlakunya peralihan garis sempadan.

Dalam laporan tersebut, Makhruzi dipetik berkata sebahagian wilayah tiga kampung itu kini “jatuh dalam pentadbiran Malaysia” susulan pemuktamadan sempadan berdasarkan persetujuan penyelesaian masalah sempadan tertunggak antara kedua-dua negara.

Tempo turut melaporkan bahawa peralihan sempadan itu berkait rapat dengan penyelesaian isu di Pulau Sebatik, pulau sempadan yang bahagian selatannya berada di Nunukan, Kalimantan Utara manakala bahagian utaranya berada dalam negeri Sabah, Malaysia.

Menurut laporan itu lagi, Indonesia dan Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman pada 18 Februari 2025 yang menentukan jajaran sempadan di kawasan berkenaan, dengan Indonesia mengekalkan kira-kira 127 hektar wilayah di Pulau Sebatik manakala Malaysia memperoleh 4.9 hektar.

Bagaimanapun, laporan Tempo turut mencetuskan polemik apabila mendakwa Indonesia kononnya menerima “pampasan” wilayah seluas 5,207 hektar daripada Malaysia sebagai ganti kepada kawasan Nunukan yang dikatakan beralih pentadbiran.

Portal itu juga melaporkan kerajaan Indonesia akan menyediakan dana pampasan kepada penduduk yang tanah mereka terkesan akibat perubahan penanda sempadan, melibatkan puluhan pemilik geran dan dokumen tanah kampung.

Arthur bagaimanapun menegaskan pemuktamadan pengukuran sempadan darat tersebut bukan pertukaran wilayah atau konsesi politik, sebaliknya hasil proses rundingan teknikal yang panjang serta telus selama lebih 45 tahun.

Beliau berkata pemeteraian Memorandum of Understanding (MoU) antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025 dibuat selepas penglibatan pelbagai agensi teknikal termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan.

“Setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk Boundary Convention 1891, Boundary Agreement 1915 dan Boundary Convention 1928 serta koordinat geospatial yang tepat, bukan atas dasar pampasan atau untung-rugi,” katanya.

Arthur berkata Malaysia melihat keuntungan jangka panjang kedaulatan negara lebih strategik apabila sempadan dimuktamadkan dan diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran serta masyarakat antarabangsa, berbanding mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang.

Menurut beliau, penetapan sempadan yang muktamad akan memperkukuhkan kedudukan perundangan Malaysia di peringkat antarabangsa dan menutup ruang kepada tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan.

Tambahnya, kedua-dua negara terus mengambil pendekatan diplomasi melalui rundingan berterusan bagi memastikan keharmonian serta mengelakkan sebarang konflik di lapangan, selaras dengan semangat muhibah dan setiakawan antara Malaysia dan Indonesia.-SUARA TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat