KUALA LUMPUR – Kelompok reformis dalam PKR melahirkan kebimbangan terhadap nasib parti itu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Berkongsi inti perbualan dengan orang lama PKR atau dikenali sebagai reformis ini, Datuk Seri Rafizi Ramli memberitahu, mereka menegaskan bahawa reformasi yang diinginkan PKR ini jauh ke depan melangkaui Anwar Ibrahim.
“Saya jumpa kawan-kawan lama PKR minggu lepas. Orang yang masuk politik masa reformasi belum popular, masa kena pukul, masuk lokap, ceramah buat di rumah sendiri. Bila dengar cerita mereka, sebenarnya selain daripada mereka nak tengok PKR jadi kerajaan, perubahan berlaku.
“Satu perkara yang cukup penting kepada mereka juga ialah kelangsungan parti. Sebab banyak yang masuk PKR ni adalah reformis. Reformis ni bila kita sebut maksudnya ialah orang yang tidak berparti sebelum 1998, jadi mereka menyahut cabaran keluar daripada kepompong selesa mereka. Daripada sebelum itu dia tak ambil tahu pasal politik. Tiba-tiba mereka menjadi pejuang politik. Itu maksud reformis dalam PKR.
“Jadi yang mereka nak tahu ialah sepanjang di peringkat awal PKR dahulu mereka terpaksa berdepan dengan hentaman dan juga cemuhan yang PKR ni adalah kuda-kuda tunggangan Anwar Ibrahim untuk jadi PM sahaja. Sebab kami yang reformis kata tidak.
“Ini untuk bawa perubahan kepada negara. Reformasi ni jauh ke depan melangkaui Anwar Ibrahim semua ni kan. Jadi kebimbangan mereka ialah kalau keadaan sekarang ini berterusan.
“Maksudnya semua itu dipusatkan kepada Anwar Ibrahim semata-mata atas alasan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini sangat popular dan fokus PKR hanyalah semata-mata ialah supaya Anwar Ibrahim kembali penggal kedua.
“Habis lepas itu party matilah. Jadi sebab itu kepada Nurul Izzah, kepada yang lain kan. Sebenarnya dia nak kena imbangkanlah kalau pun itu strategi iaitu mengenengahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata jangan sampai orang melihat PKR ini hanyalah untuk Anwar Ibrahim.
“Kerana selepas itu Anwar Ibrahim tak boleh jadi Perdana Menteri dah. Kalau menang pun second term by the time Datuk Seri Anwar habis second term dia dah 85 tahun.Takkan dia nak jadi PM sampai 90-90 lebih kan,” kata Rafizi dalam video yang dimuat naik di Facebooknya.
Ahli Parlimen itu turut membidas, jadi kalau tidak disediakan pelapis dan pelapis itu dilihat semata-mata yang ada ini ialah untuk melambung dan memuji Datuk Seri Anwar Ibrahim membontoti Anwar Ibrahim dan akhirnya parti PKR ini akan mati dengan tiadanya Anwar Ibrahim.
“Yang itu yang saya ingat mungkin sukar diungkapkan oleh orang yang lama reformis semua ni tapi itu juga adalah soalan besar kepada ada apa dengan PKR sekarang because orang nak tengok what is PKR beyond Anwar Ibrahim,” ujar beliau.



