KUALA LUMPUR – Umno didakwa cuba mengambil idea Muafakat Nasional (MN) apabila mencadangkan pembentukan kolaborasi agung antara parti politik Melayu-Islam ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas sudah lama mengangkat agenda penyatuan umat Islam dalam siasah parti Islam itu.
Menurut Sanusi, parti itu juga telah beberapa kali memberi sokongan di luar konteks politik termasuk idea ‘payung besar’ diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.
“Umno baru bercakap soal muafakat, mereka ambil idea kita selepas tertubuhnya MN. Sekarang mereka pun nak buat muafakat juga, tetapi yang baharu.
“Tapi sukar nak kerjasama dengan Umno yang tetap mahu menjadi ketua walaupun partinya lemah. Hasrat Umno umpama memiliki sebuah kedai kecil, Pas ada kedai besar, barang ada 43, sementara kedai Umno hanya ada 26 barang tetapi dia nak jadi tauke,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Dana Pembangunan Dewan Tuan Guru Haji Jusoh di Kompleks Pas Pendang, Gajah Mati, semalam lapor Utusan di Kedah.
Dakwa Sanusi, Umno tidak lagi mampu menjadi tonggak perjuangan umat selepas dilihat terlalu bergantung kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.
Katanya, ‘drama’ yang dipamerkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2025 juga tidak wajar memperdayakan rakyat kerana ia telah disusun rapi kerana akhirnya Umno kembali bekerjasama dengan DAP.
“Kalau tengok drama dalam PAU 2025, jangan terpesona, sama taraf drama sinetron. Himpunan PAU sama saja, semua drama atau orkestra yang telah disusun sebegitu, orang ini bercakap, Akmal (Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh) tegur sikit, orang ini pujuk.
“Akhirnya semua pakat tepuk tangan,” katanya.



