POKOK SENA, — Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian pimpinan UMNO Kedah yang menuntut agar autonomi negeri dihormati dalam menentukan hala tuju serta strategi politik parti.
Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, setiap keputusan berkaitan kerjasama politik wajar dibuat secara matang dan berpaksikan realiti politik tempatan, keperluan semasa serta kepentingan UMNO dan rakyat Kedah, selaras dengan aspirasi akar umbi.
Menurut beliau, UMNO Kedah perlu diberikan ruang untuk merangka langkah-langkah strategik berdasarkan dinamika politik negeri yang berbeza, tanpa terikat kepada pendekatan seragam yang mungkin tidak selari dengan keadaan setempat.
“Keutamaan UMNO Kedah adalah memperkukuh kekuatan dan kepercayaan rakyat terhadap parti melalui pendekatan yang berprinsip, berdisiplin dan berhemah, serta kekal fokus kepada pembinaan semula kekuatan parti di peringkat negeri demi kelangsungan perjuangan jangka panjang UMNO,” katanya kepada SuaraTV.
Sokongan itu hadir susulan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, yang sebelum ini menegaskan UMNO Kedah menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan Pakatan Harapan di peringkat negeri serta menggesa kepimpinan pusat memberi autonomi kepada UMNO Kedah untuk menentukan strategi politik sendiri.
Dalam kenyataan tersebut, Shaiful Hazizy dilaporkan menekankan bahawa landskap politik Kedah mempunyai realiti tersendiri dan keputusan berkaitan kerjasama politik tidak boleh dipaksakan secara pusat tanpa mengambil kira sentimen akar umbi serta kekuatan sebenar parti di negeri itu.
Beliau turut menyatakan bahawa UMNO Kedah perlu diberi kebebasan untuk merangka pendekatan terbaik, termasuk pilihan bertanding secara bersendirian, demi memulihkan keyakinan rakyat dan memperkukuh semula kedudukan parti di Kedah.



