Umno tegas, ‘Garis Merah’ tidak boleh dicabar walaupun dalam kerajaan – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi amaran keras bahawa kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan tidak sama sekali memberi lesen kepada mana-mana pihak untuk mencabar prinsip asas perjuangan Umno, khususnya melibatkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 malam ini, beliau menegaskan tiga teras utama tersebut merupakan ‘Garis Merah’ Umno yang tidak boleh disentuh atau dikompromikan walaupun parti itu berada dalam satu kabinet bersama rakan gabungan lain.

“Jangan sesekali cabar Garis Merah UMNO ini. Hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu bukan perkara yang boleh dirunding atau ditawar-menawar. Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO.

“Kita bersedia bekerjasama demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, tetapi jangan sesekali sangka kerana kita berada dalam satu kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya atau hilang prinsip perjuangannya,” tegas beliau.

Mohamad berkata Umno bersedia bekerjasama demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat, namun parti itu tidak akan berdiam diri sekiranya asas pembinaan negara cuba digugat oleh mana-mana pihak, sama ada rakan mahupun lawan politik.

Menurut beliau, tanggapan bahawa UMNO menjadi lemah atau sekadar mengikut telunjuk dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas, malah realitinya Umno bertindak sebagai penyemak imbang paling berkesan dari dalam Kabinet.

“Jangan siapa-siapa ingat UMNO ini melukut di tepi gantang. Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu. UMNO berfungsi sebagai penyemak imbang yang paling efektif dari dalam kerajaan.

“Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada keputusan yang menjejaskan kepentingan orang Melayu, agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu dibiarkan begitu sahaja. Inilah peranan UMNO sebagai perisai kepada asas negara,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohamad turut mengingatkan bahawa Umno tidak akan berdiam diri sekiranya asas negara diganggu gugat, sebaliknya akan bangkit bersuara dan menentang mana-mana pihak, sama ada rakan atau lawan, yang mencabar tiga teras utama negara.

“Saya ingin mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata apabila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu.

“Kita akan bangun, kita akan bersuara dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa jua, sama ada kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini,” katanya.

Menyentuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), Mohamad berkata UMNO mesti tampil menawarkan sesuatu yang baharu dengan kembali membawa falsafah “Kekuatan Keindukan Melayu sebagai Pengayom dan Tiang Seri Negara”.

“Kita mahu membina Melayu yang kuat, bukan untuk menjadi tuan yang sombong, tetapi untuk menjadi induk yang melahirkan, mengasuh, melindungi dan mengayomi,” katanya.

Beliau mengibaratkan Malaysia sebagai sebuah rumah besar yang dihuni oleh pelbagai kaum, manakala UMNO berperanan sebagai tiang seri yang memastikan kestabilan dan keselamatan negara terus terpelihara.

“Apabila tiang seri itu kuat, atap tidak bocor dan dinding tidak retak. Inilah resipi kestabilan sebenar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan ahli parti agar sentiasa rasional dan beradab dalam perjuangan politik serta tidak terikut-ikut dengan kecaman keterlaluan, fitnah dan emosi yang boleh menenggelamkan matlamat sebenar perjuangan.

“Jangan kerana orang lain, kita hilang adab. Biar orang lain bertindak dengan keji, kita jaga akhlak sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam apa jua bentuk kerjasama politik, namun tidak akan berkompromi dalam mempertahankan agama, bangsa dan institusi Raja-Raja Melayu sebagai asas negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat