MCMC Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap X Corp, xAI Berhubung Keselamatan Pengguna

CYBERJAYA, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp dan xAI LLC susulan kegagalan memastikan keselamatan pengguna di Malaysia melibatkan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan, Grok.

Menurut kenyataan media MCMC hari ini, peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat bagi menangani isu berkenaan.

MCMC memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.

Lebih membimbangkan, kandungan yang dikesan didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak, yang jelas menyalahi undang-undang Malaysia serta bercanggah dengan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti terbabit.

Sehubungan itu, notis telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC masing-masing pada 3 dan 8 Januari 2026 bagi mengarahkan penghapusan kandungan menyalahi undang-undang tersebut. Namun, MCMC menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan pemulihan diambil oleh kedua-dua pihak.

MCMC turut menegaskan bahawa X Corp dan xAI LLC tetap boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna, memandangkan mereka mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan serta langkah mitigasi risiko bagi sistem Grok.

“Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MCMC mengambil maklum kegagalan kedua-dua entiti berkenaan untuk menguatkuasakan dasar dan kawalan dalaman mereka sendiri, yang berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia.

MCMC menegaskan komitmennya untuk terus menegakkan undang-undang Malaysia serta melindungi kepentingan awam, sambil mengingatkan bahawa semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada negara ini wajib mematuhi sepenuhnya keperluan undang-undang dan kawal selia yang berkuat kuasa.  

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat