KUALA LUMPUR – Umno menganggap kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah menyebut dulu bahawa ‘jika suatu hari nanti Umno meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaannya, Pas akan dibubarkan’ sebagai wasiat.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bersandarkan wasiat Almarhum Nik Aziz tersebut, beliau meminda Perlembagaan Umno dengan meletakkan asas Islam di dalamnya, sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepemimpinan parti.
“Apabila Almarhum Tan Sri Nik Aziz menyebutkan Umno jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya maka Pas akan dibubarkan.
“Saya anggap itu wasiat, (sebab itu) apabila saya mengambil alih kepimpinan Umno, itu perkara pertama yang saya lakukan. Meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan Umno.
“Tapi, Pas belum terbubar lagilah. Saya harap (Pas) akan terbubar dengan sendiri,” katanya dalam nada berseloroh ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
Usul khas Pindaan Perlembagaan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 telah diluluskan sebulat suara oleh perwakilan, antara lainnya meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudiannya disusuli dengan bangsa dan negara.
Ketika itu Zahid baharu saja mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zahid berkata, Umno tidak pernah menolak Islam daripada jantungnya, jauh sekali mahu mengeksploitasi agama demi meraih sokongan, menurut Utusan.
Katanya, bagi Umno, Islam adalah panduan kenegaraan, bukan modal politik dan dibina melalui dasar serta institusi bukannya slogan retorik.
“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan manakala peranan Raja-Raja Melayu sebagai payung agama diperkukuhkan dalam Perkara 38. Inilah jasa besar Umno yang jangan sesekali kita lupakan,” katanya.



