Stesen minyak wakaf pertama mula operasi, hasil perniagaan disalurkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar

KUALA LUMPUR – Stesen minyak wakaf pertama di Malaysia dilengkapi restoran makanan segera dua tingkat di Sungai Merab mula beroperasi, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam pembangunan ekonomi Islam berasaskan wakaf.

Projek perintis itu direalisasikan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata pembangunan stesen minyak berkenaan bertujuan memberi manfaat kepada penduduk setempat selain menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Islam di negeri itu.

“Ini merupakan stesen minyak pertama yang dibangunkan di atas tanah wakaf dan ia terbuka kepada umat Islam dan bukan Islam,” katanya pada sidang media di stesen minyak wakaf pertama di Sungai Merab, lapor Media Selangor pada Rabu.

Menurut beliau, operasi stesen minyak itu membolehkan konsep wakaf dilaksanakan secara praktikal melalui aktiviti harian masyarakat.

“Setiap kali orang ramai mengisi minyak di sini, secara tidak langsung mereka menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Islam,” jelasnya.

Anuar berkata kemudahan tersebut memberi manfaat kepada penduduk sekitar Sungai Ramal Luar, Kajang dan Bangi, selain berperanan menjana pulangan berterusan hasil pembangunan tanah wakaf.

Katanya, hasil daripada perniagaan stesen minyak itu akan disalurkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar.

“Insya-Allah, 50 peratus hasil akan disalurkan bergantung kepada jumlah jualan selaras dengan niat pewakaf asal,” katanya.

Selain stesen minyak, beliau berkata tanah wakaf berkenaan turut dirancang untuk pembangunan komersial lain yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Tanah wakaf ini berkeluasan empat ekar dan kira-kira 1.25 ekar digunakan untuk stesen minyak ini, manakala selebihnya dirancang untuk pembangunan lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, PWS merancang untuk membangunkan tiga lagi stesen minyak wakaf di beberapa lokasi lain di Selangor dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Antara lokasi yang sudah dikenal pasti ialah Johan Setia dan Jalan Kebun di Klang serta Jalan Reko di Kajang,” katanya.

Beliau berkata kos pembangunan stesen minyak wakaf pertama itu mencecah kira-kira RM9 juta dan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana wakaf, dengan Petron dipilih sebagai rakan strategik.

“Matlamat utama kami ialah memastikan hasil tanah wakaf dikembalikan kepada penerima manfaat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat