KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Titah Addendum yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung tahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib Razak ditolak tanpa sebarang perintah terhadap kos.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, pada 22 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Najib untuk satu perintah mandamus antara lain supaya responden-responden (Menteri Dalam Negeri dan 6 yang lain) melaksanakan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung “tahanan rumah”, ditolak tanpa perintah terhadap kos.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Permohonan bekas Perdana Menteri untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya.
Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada 6 tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.



