Oleh Zihan Zari
KUANTAN – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terus memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar melalui pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Cempaka, dekat sini baru-baru ini.
Perasmian program ini telah dirasmikan oleh EXCO Pertanian, Industri Asas TANI, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Ir. Hj. Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Dato’ Sri Hj. Shafik Fauzan Sharif.
DOF dalam kenyataan berkata program pembangunan berimpak tinggi ini berteraskan prinsip MADANI dan memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi, kebajikan, infrastruktur serta kelestarian sumber semula jadi bagi meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
“Kampung Cempaka dipilih sebagai lokasi pelaksanaan projek kerana kedudukannya sebagai komuniti nelayan aktif yang memerlukan sokongan strategik dari aspek kebajikan, kemudahan asas dan pembangunan komuniti.
“DOF telah melaksanakan projek fizikal utama merangkumi naik taraf balai nelayan, pembangunan tempat penyimpanan bot nelayan, naik taraf tandas awam, fasiliti sukan padang bola, pemasangan lampu solar awam, sistem solar di Surau Kampung Cempaka, serta wakaf kayu dan kerusi batu, ”kata kenyataan itu.
“Inisiatif solar ini bertujuan memastikan pencahayaan dan keselamatan awam terjamin, seterusnya meningkatkan keselesaan dan keselamatan komuniti setempat.
“Bagi komponen bukan fizikal, bantuan kemudahan asas turut disampaikan kepada Kompleks Rumah Anak Yatim Permata Camar yang merangkumi tilam baharu, mesin basuh dan sistem siaraya bagi meningkatkan keselesaan serta kebajikan penghuninya.
“Selain itu, DOF turut menyampaikan 84 bidang pukat kepada 42 nelayan pantai sebagai usaha meningkatkan keupayaan operasi penangkapan ikan dan menyokong kelangsungan ekonomi nelayan kecil.
“Bantuan ini diharap dapat meningkatkan hasil tangkapan secara mampan dan mengukuhkan pendapatan nelayan, ”katanya.
“Serentak dengan usaha meningkatkan keupayaan komuniti nelayan, DOF
turut melaksanakan Program Pemutihan Lesen Sampan bagi lesen yang tidak aktif dan tidak diperbaharui.
“Program ini bertujuan memastikan pengurusan lesen lebih tersusun, sekaligus membolehkan nelayan yang sah dan aktif diberikan peluang untuk menjalankan operasi penangkapan ikan secara sah serta mematuhi peraturan.
“Hasilnya, seramai 41 nelayan pantai daripada daerah Kuantan telah diluluskan untuk menerima Lesen Sampan Khas, khusus untuk nelayan yang memiliki pengalaman dan rekod penangkapan terdahulu.
“Penyampaian lesen telah diadakan secara rasmi semasa majlis ini, memberikan mereka peluang meningkatkan keupayaan operasi, hasil tangkapan serta pendapatan keluarga secara sah,”katanya lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain, berkata komitmen jabatan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti nelayan melalui pendekatan pembangunan yang holistik.
“Program KAM ini adalah contoh bagaimana pembangunan komuniti, kebajikan sosial dan kelestarian sumber perikanan dapat digabungkan secara strategik.
“DOF komited memastikan setiap inisiatif memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya komuniti nelayan yang menjadi nadi kepada rantaian bekalan makanan negara,” ujarnya.
Tambahnya, pengurusan lesen sampan secara lebih tersusun akan meningkatkan keberkesanan kawal selia serta memastikan hanya nelayan yang sah, aktif dan berkelayakan dapat menjalankan operasi penangkapan ikan dengan mematuhi peraturan. – SUARA.TV



