Pas bimbang DAP kuasai pusat bandar, tak wajar jadikan jawatan Kabinet ‘bunga emas’ kekalkan sokongan

KUALA LUMPUR – Pas beranggapan sekiranya jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak, maka jelas bahawa ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip, sekali gus melemahkan integriti proses pembentukan serta penggubalan dasar negara.

Menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, keadaan ini menimbulkan kebimbangan mendalam bahawa ia merupakan percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat-pusat bandar utama lain di negara ini yang bertujuan membolehkan sebuah parti membentuk dan mewarnakan dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan tanpa proses semak imbang yang berkesan dan telus.

“Pas memandang serius rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, terutama pelantikan Hannah Yeoh (DAP) dan Lo Su Fui (GRS) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selain pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di tangan seorang lagi pemimpin DAP. Kebetulan, ketiga-tiga mereka adalah daripada latar belakang etnik yang sama.

“Perlu ditegaskan bahawa Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – bukanlah wilayah atau portfolio biasa, sebaliknya ia mewakili jantung politik dan pentadbiran negara.

“Justeru pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan
persoalan besar, sah dan tidak dapat dielakkan berkait isu-isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam kenyataan media pada Rabu.

Lebih membimbangkan kata Takiyuddin ialah persepsi meluas bahawa pelantikan yang dibuat tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar, tetapi susulan tekanan dan tawar-menawar politik.

“Pas mengambil perhatian tentang spekulasi bahawa ia berkait rapat dengan kata dua politik oleh DAP, termasuk ancaman parti itu untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya beberapa tuntutannya, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah-sekolah persendirian Cina tidak dipenuhi.

“Pemusatan kuasa sedemikian sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam yang serius, terutama dengan kehadiran inisiatif undang-undang kontroversial seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk potensi kehilangan hak milik mereka.

“Penerusan pendekatan pentadbiran yang dilihat mendahulukan percaturan dan kepentingan politik elit bandar dengan mengabaikan kepentingan dan sentimen sah rakyat akar umbi ini akan melebarkan jurang sengketa antara kumpulan-kumpulan dalam masyarakat dan juga antara wilayah dan lokaliti. Ini seterusnya akan menyumbang kepada kelunturan kesatuan kebangsaan negara,” ujar Takiyuddin lagi.

Dalam pada itu kata beliau, Pas juga mendapati pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri lain turut menimbulkan keraguan serius berkait isu-isu kekananan, pengalaman, kompetensi, ketrampilan, kredibiliti dan kesesuaian.

“Ia bukanlah lantikan ke jawatan dan peranan upacara, tetapi merupakan portfolio penting, sama ada melibatkan kepentingan generasi muda, ekosistem pendidikan mahupun hal-ehwal Islam dan sebagainya yang menuntut kematangan, kedewasaan, dan kebolehan yang terbukti.

“Tanpa justifikasi meyakinkan bagi menyokong rombakan Kabinet dan pelantikan yang dibuat akan hanya memperkuatkan tanggapan bahawa kedudukan dalam Kabinet telah diagih-agihkan mengikut selera dan nafsu politik, bukan kepentingan rakyat dan negara.

“Perlu diingatkan bahawa kepimpinan bukanlah aktiviti mengatur bilangan anggota hanya untuk mengekalkan kuasa, sebaliknya merupakan eksesais yang berkait rapat dengan kepercayaan, kebijaksanaan dan tanggungjawab,” kata beliau.

Takiyuddin mengingatkan, rombakan Kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan, bukan menyuburkan keraguan; menyembuh luka, bukan menggaraminya; merapatkan retak, bukan menambah belah; menggala bocor, bukan menebuk lunas.

“Ia juga mesti menggambarkan kemajmukan masyarakat kita melalui perwakilan yang adil dan berkesan serta pelantikan berdasarkan merit, kedewasaan dan pandangan jauh,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat