KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki menjangkakan sekiranya barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik membarisi Kabinet Madani berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, tidak mustahil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membubarkan Parlimen lebih awal.
“Melihat kepada rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Anwar semalam, adalah diyakini PRU ke-16 (PRU16) akan diadakan lebih awal daripada tempoh pembubaran wajib Parlimen Malaysia.
“Pelantikan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri kali ini secara khususnya bagi Pakatan Harapan (PH) adalah sebahagian daripada strategi mereka untuk menghadapi PRU16.
“Sekiranya menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang dilantik berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, Anwar tidak teragak-agak membubar Parlimen,” duga beliau.
Zuhdi berkata, Anwar telah mengumumkan rombakan Kabinet yang agak besar.
Bagaimanapun kata pemimpin Pas itu, secara sepintas lalu, rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Anwar kali ini kelihatannya boleh menjadi bahan jenaka oleh pihak pembangkang, kerana ada beberapa pelantikan yang disifatkan “tangkap muat”.
“Tapi, sekiranya diteliti lebih mendalam, rombakan Kabinet kali ini sebenarnya adalah satu persiapan PH untuk menghadapi PRU16.
“Salah satu pelantikan menteri yang boleh menjadi peluru pihak pembangkang, ialah pelantikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan. Sememangnya latar belakang Ramanan ini agak kontroversi.
“Hakikat ini bukan sahaja diungkitkan oleh pihak pembangkang, tetapi sering menjadi bahan sindiran bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli. Namun begitu, Anwar melihat pelantikan Ramanan ini adalah sebagai satu strategi untuk mengekal sokongan pengundi-pengundi India kepada PH.
“Satu lagi pelantikan yang agak sukar difahami ialah penukaran Menteri JPM (Hal Ehwal Agama). Menteri sebelum ini , Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, digugurkan dan diganti dengan timbalannya, Dr Zulkifli Hasan.
“Kedua-dua mereka adalah senator, tetapi mengapa Dr Zulkifli yang dikekalkan, malah dinaikkan ke jawatan menteri penuh. Berbeza dengan Dr Naim yang tidak terlibat dengan politik, Dr Zulkifli diyakini akan aktif dengan PKR Perak. Dijangkakan beliau akan mengemudi PKR Perak yang memerlukan seorang berbangsa Melayu sebagai ketuanya,” ujar Zuhdi.
Kata beliau lagi, antara perkara yang terus menjadi bahan jenaka dalam rombakan Kabinet kali ini ialah pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
“Dengan latar belakang Adam Adli, sememangnya agak menghairankan mengapa Anwar meletakkannya sebagai timbalan kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Bagaimanapun, mungkin ramai yang terlupa bahawa Adam Adli adalah bekas aktivis mahasiswa.
“Bagi menghadapi PRU16, peranan beliau adalah penting untuk menjana sokongan mahasiswa sekaligus sekongan pengundi-pengundi muda.
Pelantikan Adam Adli ini dilihat cuba memperkukuhkan usaha PKR khususnya untuk menarik pengundi-pengundi muda.
“Di dalam rombakan Kabinet kali ini, Anwar telah melantik Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan. Dr Mohammed Taufiq diberi peranan untuk mencapai semaksima mungkin sokongan pengundi-pengundi muda melalui program-program yang bakal dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Di dalam PRU ke-16 nanti pengundi-pengundi muda menjadi penentu utama,” ulasnya lagi.
Berkaitan dengan DAP pula, Anwar dilihat telah membuka peluang yang luas untuk parti tersebut mengekalkan sokongan pengundi-pengundi Cina kepada PH, katanya.
“Berlegar di media-media sosial, seramai 12 orang ahli-ahli Parlimen DAP dilantik ke jawatan menteri dan timbalan menteri. Jumlah tersebut sememangnya besar bagi sesebuah parti tunggal. Lebih daripada itu, potfolio menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri DAP juga dilihat sebagai memenuhi strategi untuk mengekalkan sokongan pengundi-pengundi Cina.
“Jelas dilihat Anwar mahu memastikan semaksima mungkin kerusi-kerusi di kawasan bandar terus kekal dimenangi oleh PH. Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri JPM (Wilayah Persekutuan) menjadi pemangkin kepada potfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipegang oleh Nga Kor Ming, untuk PH mengekalkan kemenangan mereka di bandar-bandar besar.
Sepertimana keputusan PRU15, PH sangat bergantung kepada kemenangan kerusi-kerusi di kawasan bandar dan sub bandar,” katanya.



