Oleh Zihan Zari
BANDAR BARU NILAI – Pertandingan Mut Perundangan Angkasa (PMPA 2025) merupakan satu platform penting untuk melahirkan generasi baharu yang bersedia menerajui bidang undang-undang angkasa.
Bidang ini yang semakin kritikal dalam era pelancaran roket komersial, peningkatan satelit di orbit, isu debris, keselamatan angkasa, dan tadbir urus global, kata Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Pertandingan Mut Perundangan Angkasa (PMPA 2025) di Mahkamah Mut Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM dekat sini, baru-baru ini.
“Kami percaya kombinasi ilmu syariah, sains dan undang-undang yang dibawa oleh USIM memberi nilai tambah unik kepada perbincangan mengenai tadbir urus angkasa yang beretika dan mampan, ”katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail.
Turut hadir, Penguasa Angkasa dan Inovasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr. Mhd Fairos Asillam; Timbalan Presiden Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Rakan Pelaksana Strategik, Amerridzal Bidin; dan Pengarah Program PMPA 2025, Dr. Che Zuhaida Saari.
Dr. Sharifudin berkata melalui pertandingan ini, para peserta bukan sahaja diuji kemampuan berhujah serta mengaplikasikan undang-undang Malaysia dan undang-undang angkasa antarabangsa, malah didedahkan kepada realiti semasa seperti Liability Convention, State Responsibility, Freedom of Exploration, dan tata kelola angkasa dalam kerangka undang-undang Malaysia.
“USIM sentiasa komited untuk menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kapasiti nasional. Penganjuran PMPA ini selari dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh penyelidikan, inovasi, dan pendidikan dalam bidang yang bersifat frontier dan berimpak tinggi,”katanya.
Katanya lagi, USIM amat berbesar hati menerima kehadiran semua tetamu, terutama rakan-rakan strategik daripada MOSTI dan YIM yang telah bersama-sama menjayakan penganjuran pertandingan ini dan juga peserta-peserta pertandingan daripada universiti awam dan swasta daripada pelbagai lokasi.
Ujarnya, kerjasama strategik MOSTI dan USIM ini menggabungkan kepakaran dasar dengan kekuatan akademik, sekaligus memperkukuh usaha negara dalam membangunkan modal insan serta menyokong tatakelola angkasa yang berdaya saing dan berintegriti.
“Selamat berjuang kepada semua peserta. Gunakan peluang ini untuk belajar, mengasah kemahiran, dan membina rangkaian profesional.
“Semoga pertandingan ini memberikan pengalaman bermakna dan menjadi permulaan kepada perjalanan anda dalam dunia undang-undang angkasa,”tambahnya. – SUARA.TV



