CYBERJAYA – Kerajaan terus mempertingkat kawal selia berkaitan pelarian dan pemohon suaka menerusi pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memastikan keselamatan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPD) Bilangan 2/2025 petang tadi.
Menurut beliau, kerajaan komited memperkemaskan tatakelola dengan menyediakan pangkalan data lebih sahih, sistematik dan selaras antara agensi berkaitan. Pelaksanaan DPP juga bukan bertujuan memberi keistimewaan kepada pelarian, tetapi sebagai mekanisme kawal selia yang lebih ketat.
Data semasa menunjukkan peningkatan ketara kes jenayah melibatkan pelarian dan pemohon suaka, dengan 899 kes dan 1,148 tangkapan direkodkan dari tahun 2023 hingga 2025.
-
90.2% daripada tangkapan melibatkan lelaki
-
97.5% adalah warga Myanmar, diikuti Bangladesh, Yaman dan Thailand
Zahid menyatakan bahawa trend ini menimbulkan keperluan mendesak untuk memastikan proses pendaftaran, pemantauan dan kawal selia dapat dilaksanakan secara lebih berkesan bagi mengurangkan risiko keselamatan serta penyalahgunaan identiti.
Katanya, kerajaan perlu menyeimbangkan faktor keselamatan, ekonomi dan keharmonian sosial, justeru DPP berfungsi sebagai langkah memastikan identiti yang jelas, mengelakkan penipuan dokumen dan mengawal pergerakan individu berstatus pelarian di negara ini.
“Melalui kerjasama agensi dan pelaksanaan dasar lebih tersusun, kerajaan akan terus memastikan keselamatan rakyat dipertahankan, sementara perkhidmatan awam dapat disampaikan tanpa menjejaskan kestabilan negara,” katanya.



