Hajiji ajak semua Adun menang termasuk dari parti lawan kerjasama, bersatu berkhidmat untuk rakyat Sabah

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dengan jiwa besar menyeru pihak lawan merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mengajak semua pemimpin yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 Nov bersama kepimpinan beliau membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan.

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah. Kemenangan dan mandat ini adalah untuk setiap insan yang percaya kepada visi Sabah Maju Jaya dan memilih kestabilan sebagai jalan ke hadapan.

“Marilah kita meraikan kemenangan ini sebagai permulaan kepada sebuah bab baharu yang dipenuhi dengan tujuan yang diperbaharui serta tekad bersama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Sabah tercinta.

“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan Hala Ruju Sabah Maju Jaya 2.0 yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah First, Sabah Maju, Sabah Prosper dan Sabah United.

“Kepada semua pihak lawan kita yang telah bertanding bersama kita sepanjang pilihan raya ini, marilah kita merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu. Marilah kita membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan,” seru Adun Sulaman itu dalam kenyataan malam ini.

Hajiji turut berterima kasih kepada semua pengundi di DUN N.12 Sulaman.

“Saya bersyukur atas sokongan luar biasa yang diberikan dengan majoriti 8,919 undi iaitu jumlah hampir tiga kali ganda berbanding pilihan raya yang lalu.

“Sokongan ini adalah amanah yang amat besar dan saya akan terus memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Sabah,” ujar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat