KOTA KINABALU- Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali merayu agar pengundi menyelamatkan Sabah daripada Warisan.
Menurut beliau, dalam manifesto GRS PRU DUN Sabah 2025 ini, partinya meletakkan komitmen untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi menetapkan had maksimum pentadbiran Ketua Menteri hanya untuk 2 penggal secara berturut-turut atau hanya maksimum 10 tahun.
“Hakikatnya, ini bukan sekadar janji, tapi telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah dan sedia untuk dibentangkan sebaik mandat baharu diberikan rakyat. Pindaan ini memerlukan kelulusan 2/3 ADUN.
“Kita mengharapkan rakyat dapat memberikan kita mandat yang stabil untuk membolehkan pindaan ini dibuat.
“Ini komitmen GRS dalam melaksanakan reformasi undang-undang dan institusi.
“Antaranya untuk mengelakkan pemusatan kuasa kepada seseorang individu/institusi bila mana terlalu lama berkuasa,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan itu mempersoalkan, bolehkah mengharap reformasi ini dilaksanakan Parti Warisan?
Menurut beliau, sejarah membuktikan apabila mereka berkuasa sekejap, bukan had maksimum berkuasa dibuat, tapi apa yang diubah adalah meminda Perlembagaan Negeri menjadikan tiada lagi had tempoh penggal bagi seseorang TYT Sabah.
“Selamatkan Sabah daripada Warisan
“Pilihlah GRS – Rumah Kita, Kita Jaga,” seru Armizan.



