Wartawan lantang kritik skandal pemain warisan dipukul individu tidak dikenali, cetus kebimbangan industri bolasepak bertukar menjadi dunia mafia

KUALA LUMPUR, – Wartawan sukan terkenal, Haresh Deol yang menjadi perhatian umum selepas menyoal secara agresif isu pemain warisan dalam sidang media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendakwa beliau diserang dua individu petang tadi.

Dalam satu kenyataan ringkas di platform X, Haresh memaklumkan bahawa beliau dipukul oleh dua lelaki, manakala seorang lagi merakam keseluruhan kejadian sebelum beliau membuat laporan polis.

Kebanyakan peminat bola sepak mengaitkan kejadian ini dengan ketajaman Haresh bertanya soalan-soalan sensitif kepada Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.

Dalam sidang media FAM bulan lalu tegang apabila Haresh dan beberapa wartawan lain mengasak FAM berhubung tujuh pemain warisan yang digantung FIFA atas dakwaan pemalsuan dokumen keturunan.

Dalam sidang media tersebut, FAM bergelut menjelaskan tarikh ketibaan pemain, proses pemilikan MyKad, serta bagaimana kewarganegaraan mereka diluluskan dalam tempoh kurang enam bulan. Sivasundaram turut menimbulkan kekeliruan apabila menyatakan bahawa FAM “percaya” pemain-pemain itu memiliki warisan Malaysia, sebelum menambah bahawa bukti rasmi masih disiasat oleh jawatankuasa bebas.

Pertikaian bertambah panas apabila beliau mengakui tidak dapat menyatakan dengan pasti siapa ejen atau pegawai yang bertanggungjawab mengenal pasti kumpulan pemain itu, malah dakwaan bahawa aduan kepada FIFA dibuat individu dari Vietnam juga hanya berdasarkan “kepercayaan”, bukan maklumat rasmi. Kekeliruan fakta itu menyebabkan sesi berkenaan menjadi tular dan dikritik hebat oleh peminat bola sepak tempatan.

Serangan terhadap Haresh hari ini sekaligus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai keselamatan wartawan, terutamanya selepas kejadian berprofil tinggi seperti insiden melibatkan pemain kebangsaan, Faisal Halim, yang masih segar dalam ingatan peminat sukan negara.

Keberanian Haresh bertanya soalan-soalan yang tidak disenangi sesetengah pihak menjadikan insiden ini mendapat perhatian luas dalam komuniti media.

Setakat laporan ini diterbitkan, keadaan kecederaan Haresh belum diperincikan. Polis dijangka memulakan siasatan berhubung insiden tersebut. FAM pula belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai serangan itu atau video sidang media yang kembali berlegar di platform sosial. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat