PRN Sabah : Peguam muda SAPP bertanding DUN Likas, janji pertahan hak Sabah

KOTA KINABALU — Calon Parti Maju Sabah (SAPP) bagi DUN Likas, Yong Yit Jee menegaskan Sabah memerlukan wakil yang benar-benar memahami undang-undang bagi memastikan rundingan tuntutan 40 peratus hasil negeri dapat dilaksanakan secara, teratur dan memberi pulangan yang sewajarnya kepada rakyat.

Bercakap kepada Suara TV, beliau berkata tempoh ini merupakan ‘fasa kritikal’ bagi negeri Sabah dalam proses memuktamadkan tuntutan hak di bawah MA63.

“Kalau yang runding bagi pihak Sabah tidak pandai undang-undang, bagaimana dia mahu berjuang?
“Isu 40 peratus sedang dalam tindakan undang-undang, jadi siapa yang mewakili Sabah sangat penting,” tegasnya.

Yong Yit Jee, yang mempunyai latar belakang sebagai peguam itu berkata kemampuan mempertahankan hak Sabah bergantung kepada pemimpin yang memahami implikasi undang-undang.

Anak kepada Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee itu turut menegaskan bahawa penguasaan teknikal undang-undang adalah keperluan asas bagi mana-mana wakil rakyat.

“Kalau tidak faham undang-undang, macam mana mahu berunding dengan kerajaan? Sabah perlukan orang yang boleh pastikan undang-undang ditegakkan, bukan sekadar buat video atau berselfie,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik tahap infrastruktur di Likas yang didakwa telah lama terabai sehingga menyebabkan masalah banjir di kawasan yang sepatutnya tidak terdedah kepada risiko tersebut.

“Mana mungkin Likas boleh banjir? Itu kerana kerja tidak dibuat. Banyak perkara sudah dineglect, dan rakyat terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.

Beliau berkata komitmen turun padang akan menjadi keutamaan sekiranya diberi mandat, termasuk memastikan pengundi boleh menghubunginya pada bila-bila masa melalui nombor telefon atau kod QR yang telah diedarkan sepanjang berkempen.

“YB dulu tidak pernah jumpa rakyat. Saya akan bersedia dan mudah dihubungi. Saya akan beri nombor telefon saya sendiri supaya pengundi tidak rasa terputus dengan wakil mereka,” katanya.

Mengulas cabaran menentang Ketua DAP Sabah, Yit Jee berkata beliau teruja dan yakin dengan kekuatan utamanya adalah dalam memahami dan memperjuangkan isu MA63 di peringkat perundangan.

“Saya gembira dapat lawan ketua DAP, tapi saya ada kekuatan tersendiri. Dalam isu MA63, saya tahu bagaimana mahu berjuang, bukan sekadar cakap,” ujarnya.

Menurutnya, sokongan pengundi Cina ketika ini terbahagi kepada Warisan, DAP dan Parti Maju Sabah, namun beliau yakin parti tempatan mempunyai kelebihan kerana kekuatan sebenar terletak pada kerja calon, bukannya jenama parti semata-mata.

“Warisan pakai jenama, tapi bagi kami calon itu sendiri yang penting. Siapa yang berani pertahan hak, siapa yang bekerja, itu yang rakyat mahu,” tegasnya.

Yit Jee yang berusia 38 tahun juga mendedahkan pengalamannya sebagai seorang peguam yang pernah membawa kes sehingga kepada kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk isu delineasi dan tindakan tidak adil terhadap pegawai perkhidmatan awam Sabah.

“Saya pernah bawa kes lawan kerajaan Persekutuan, dan saya menang. Saya sudah lama bekerja dalam isu undang-undang yang berkaitan Sabah, bukan baru cuba,” katanya.

Beliau yang pernah bersekolah di SJKC Chung Hwa Likas berkata latar pendidikannya di kawasan itu memberinya kefahaman jelas terhadap keperluan penduduk Likas.

“Saya ada keluarga di Likas, saya membesar di sini. Sebab itu saya mahu pastikan Likas kembali diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat