KENINGAU — Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.45 Sook, Rushdy Raphael, mengesahkan peletakan jawatan dan menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bersama seluruh kepimpinan Pemuda PBS N.45 Sook, hari ini.
Borang keahlian mereka diserahkan sendiri kepada Presiden PBRS, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup pada Majlis Kemasukan Ahli Baharu PBRS di Kampung Barai, Biah.
Menurut Arthur, kemasukan Rushdy bukan kerana dijanjikan jawatan, sebaliknya kerana yakin PBRS memberi ruang lebih besar untuk beliau memimpin.
Arthur berkata penghijrahan itu juga mencerminkan perubahan sokongan akar umbi terhadap PBS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ini bukan soal jawatan, tetapi soal peluang sebenar untuk berkhidmat.
“Tindakan seorang Ketua Pemuda PBS sendiri meninggalkan parti adalah isyarat jelas bahawa PBS dan GRS semakin hilang kepercayaan di peringkat akar umbi,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan anak muda kini melihat PBRS-BN sebagai platform lebih stabil, konsisten dan dekat dengan realiti rakyat.
“PBRS sentiasa menekankan kualiti kerja, integriti dan pembangunan luar bandar yang terbukti dapat dilihat penduduk. Sementara parti lain sibuk dengan perebutan kuasa dalaman,” ujarnya.



