KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas mendakwa dalam isu rasuah di Sabah bukti sudah bertimbun, saksi sudah tampil, dokumen sudah dilampirkan.
Namun kata Ahmad Fadhli Shaari setakat ini, hanya dua individu didakwa.
“Saya sentuh isu rasuah di Sabah. Bukti sudah bertimbun, saksi sudah tampil, dokumen sudah dilampirkan. Namun setakat ini, hanya dua individu didakwa. Selebihnya? Senyap.
“Ada yang kekal bebas, malah masih berpengaruh. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, video tidak cukup untuk menjadi bukti. Saya nyatakan tadi, lebih 300 muka surat bukti dokumentasi, termasuk dakwaan pindahan bank, aliran wang, invois, surat-menyurat, dan rekod sokongan, sudah diserahkan kepada SPRM. Di mana pendakwaan yang adil?
“Perdana Menteri menjawab seperti biasa — “itu bidang kuasa SPRM.” Semua orang tahu SPRM tidak bergerak tanpa hala tuju politik. Maka persoalannya: adakah SPRM kini menjadi perisai politik, bukan perisai integriti?
“Benarlah bahawa, yang menjadikan rakyat Sabah terus miskin ialah pemimpin-pemimpinnya sendiri.
Justeru Fadhli menyeru, orang-orang Sabah wajib jadikan pilihan raya negeri ini sebagai medan untuk menghukum pemimpin yang mengerah hasil negeri Sabah untuk memenuhkan poket mereka sendiri.
Sedangkan katanya jalan raya perhubungan amat teruk, bekalan elektrik masih belum sepenuhnya sampai di bumi Sabah dan juga bekalan air bersih yang masih kritikal.
Sementara itu beliau juga bangkitkan tentang penggunaan aset kerajaan semasa kempen pilihan raya di Sabah.
Ujarnya, rakyat boleh menilai sendiri gambar yang tersebar luas yang menunjukkan Perdana Menteri turun daripada jet rasmi kerajaan — tetapi memakai baju berlambang Pakatan Harapan (PH).
“Perdana Menteri sendiri pernah menegur menteri agar tidak menggunakan aset kerajaan untuk kempen politik. Namun apabila ia melibatkan dirinya sendiri, tiba-tiba semuanya “tidak apa”.
“Lebih menghairankan apabila beliau mengaku perjalanan itu adalah urusan parti, bukan kerajaan. Jadi, kenapa guna jet rasmi kerajaan? Bukankah itu salah guna kuasa yang terang lagi bersuluh?
“Kesimpulannya, jawapan Perdana Menteri hari ini tidak menimbulkan keyakinan. Ia hanya menambah keraguan — bahawa di sebalik slogan “Madani”, tiada keazaman politik yang benar-benar jujur untuk membanteras rasuah. Kerajaan ini lebih sibuk menjaga imej daripada memperbaiki integriti, lebih banyak bersilat kata daripada berani menegakkan kebenaran.
“Kerajaan yang benar-benar mahu melawan rasuah tidak akan bersembunyi di sebalik alasan birokrasi. Ia akan bertindak — tanpa pilih kasih, tanpa takut kehilangan kuasa,” selar beliau.
Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata beliau juga bangkitkan isu surat sokongan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri sendiri pada tahun 2024.
Dakwa Fadhli, surat itu menyenaraikan enam kontraktor untuk dipertimbangkan bagi projek di Kementerian Kesihatan — dua layak, empat tidak.
“Ada yang tidak berdaftar dengan CIDB, malah ada yang sedang dikenakan tindakan. Bagaimana sebuah pejabat yang sepatutnya menjadi contoh ketelusan boleh terlibat dalam kecuaian sebegitu besar?
“Perdana Menteri mengaku tindakan itu “tidak betul” dan katanya sudah memberi “teguran keras”. Teguran keras? Untuk salah guna kuasa di Pejabat Perdana Menteri? Itu bukan disiplin pentadbiran itu penghinaan terhadap integriti institusi,” katanya.
Fadhli membuat ulasan itu selepas berpeluang mengajukan soalan kepada Perdana Menteri dalam sesi Prime Minister’s Question Time (PMQT) di Dewan Rakyat satu sesi yang memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk berdepan sendiri dengan Perdana Menteri melalui soalan yang diserahkan terlebih awal.
Namun katanya, seperti biasa, jawapan yang diterima bukan menimbulkan keyakinan, sebaliknya lebih banyak persoalan baharu yang timbul.
“Terus terang saya katakan, saya tidak begitu teruja dengan soalan asal yang saya ajukan. Ia lebih kepada tiket untuk mengemukakan soalan tambahan soalan yang lebih penting dan menyentuh asas integriti kerajaan ini dalam membanteras rasuah.
“Dalam soalan tambahan itu, saya bangkitkan beberapa isu utama yang menunjukkan bahawa retorik “Madani” ternyata tidak seiring dengan realiti pentadbiran. Pertama, saya persoalkan kedudukan Corruption Perception Index (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International.
“Sepanjang Perdana Menteri memegang tampuk pemerintahan sejak 2022, Malaysia masih kekal di takuk lama. Skor CPI tahun 2023 dan 2024 kekal pada 50, dengan kedudukan 57 daripada 180 negara — langsung tidak menunjukkan kemajuan berbanding ketika zaman Perikatan Nasional (2020) yang mencatat skor 51.
“Bahkan Ketika pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2019, Malaysia mencatat skor 53. Ironinya, ketika era Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2016 yang sering dijadikan simbol “rasuah besar 1MDB” oleh pihak kerajaan hari ini Malaysia mencatat skor 49, hanya beza satu mata dengan kerajaan ‘suci’ pada hari ini! Jadi di mana keberkesanan kononnya “usaha besar-besaran” membanteras rasuah yang dijaja kerajaan Madani? Isu ini Perdana Menteri tidak berikan respon,” katanya.



