Malaysia terus membuktikan pengaruhnya sebagai destinasi utama konsert antarabangsa apabila figura K-pop terkenal, Jessica Jung, memilih negara ini sebagai lokasi pembukaan siri jelajah terbaharunya, Reflections. Penganjur HUISHIYULE menampilkan pendekatan berorientasikan peminat, menjadikan konsert ini lebih daripada sekadar persembahan, tetapi sebuah pengalaman imersif yang memberi keutamaan kepada interaksi artis dan peminat.
Keistimewaan utama Reflections ialah reka bentuk pentas berbentuk T, yang membolehkan Jessica bergerak lebih dekat dan berinteraksi secara langsung dengan para peminat, yang dikenali sebagai Golden Stars. Reka bentuk pentas sebegini jarang digunakan dalam acara tertutup seperti Arena of Stars, namun dipilih untuk memaksimumkan jarak pandangan dan mencipta pengalaman lebih peribadi untuk penonton.
Selain itu, konsert ini dijangka menampilkan produksi audio visual berskala penuh yang menjadikan Malaysia lokasi pertama menyaksikan keseluruhan konsep jelajah tersebut.
Konsert pembukaan ini akan berlangsung pada 11 Januari 2026 (Ahad), jam 7 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting. Sebagai destinasi pertama untuk jelajah ini, peminat dijangka memberikan sambutan luar biasa.
Tiket akan mula dijual pada 20 November 2025, jam 3 petang melalui fantopia.io dan rwgenting.com dengan harga berikut:
RM988 (VIP), RM788 (PS1), RM588 (PS2), RM488 (PS3), dan RM288 (PS4). Semua harga tertakluk kepada caj pemprosesan RM4.
Sebagai malam pembukaan jelajah, konsert ini menawarkan peluang kepada peminat untuk menjadi antara yang terawal menikmati setlist, konsep persembahan dan susun atur pentas yang akan dibawa ke negara lain.
Dalam usaha memastikan penonton menikmati perjalanan yang mudah dan lancar, penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik eksklusif untuk pemegang tiket konsert. Perkhidmatan ini menghubungkan KL Sentral dan SkyAvenue Bus Terminal.

Harga tiket bas ialah RM50 bagi perjalanan sehala dan RM80 untuk pergi balik. Bas dari KL Sentral akan berlepas pada 12 tengah hari dan 2 petang, manakala bas pulang dari SkyAvenue akan bertolak pada 10.30 malam dan 11.30 malam. Pembelian tiket bas boleh dibuat melalui fantopia.io.
Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembukaan Reflections bukan sekadar penghargaan kepada sokongan padu peminat tempatan, tetapi juga pengiktirafan terhadap infrastruktur hiburan negara yang semakin berkualiti. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin sering dipilih sebagai destinasi awal untuk jelajah artis K-pop dan antarabangsa, dan konsert Jessica mengukuhkan lagi trend tersebut.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang perkembangan baharu, peminat boleh mengikuti akaun Instagram penganjur di @ht.entertainmentcompany.



