KUALA LUMPUR, 17 November 2025 — Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA Malaysia sekali lagi menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ke-4 (KHUP4) yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 November 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), Sepang. Penganjuran edisi keempat ini bukan sekadar acara tahunan, malah berperanan besar dalam memperkukuh ekosistem haji, umrah dan pelancongan negara melalui aktiviti pendidikan, promosi, serta interaksi langsung antara agensi pelaksana dan masyarakat.
Menurut Ketua Jabatan Haji TH, Tuan Haji Mohd Hisham Harun, tujuan utama KHUP4 ialah menyediakan sebuah platform menyeluruh untuk memperkenalkan dan mempromosikan pakej-pakej haji, umrah dan pelancongan patuh syariah yang ditawarkan oleh pengelola berlesen. TH menekankan bahawa karnival ini bukan sekadar pameran, tetapi wadah ilmu, pengalaman serta komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat tepat dan telus sebelum membuat pilihan pakej haji mengikut keselesaan dan kemampuan masing-masing.
TH turut memaklumkan bahawa sebanyak 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) telah dilesenkan untuk musim haji 1447H, termasuk tiga agensi baharu iaitu Citra Travel & Tours Sdn. Bhd., Glocal Travel & Tours Sdn. Bhd. dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd. Penambahan ini membuka lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah dan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan PJH untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti pada harga kompetitif.
KHUP4 juga berperanan sebagai pusat rujukan masyarakat mengenai urusan haji, umrah dan pelancongan patuh syariah. Dalam masa yang sama, karnival ini menjadi platform mendidik masyarakat tentang isu penipuan atau ‘scam’ haji yang masih berlaku. Menerusi interaksi langsung bersama 34 PJH berlesen, orang ramai dapat membezakan pakej sah daripada tawaran meragukan yang sering disebarkan di luar saluran rasmi.
Pelbagai pengisian menarik turut disediakan sepanjang tiga hari penganjuran, termasuk Program Bual Bicara, Forum dan Podcast TH yang membincangkan aspek kesihatan serta persediaan jemaah sebelum dan semasa berada di Tanah Suci. Simulasi Haji Cilik pula memberi peluang kepada kanak-kanak memahami proses dan semangat ibadah, manakala pertandingan mewarna berfungsi sebagai aktiviti santai yang tetap membawa nilai pendidikan. Persembahan nasyid oleh kumpulan ternama seperti Raihan, Inteam dan Mawi serta kemunculan watak popular Omar & Hana dijangka memeriahkan karnival. Selain itu, kuiz interaktif, cabutan bertuah dan bazar jualan turut menambah tarikan kepada pengunjung.
Dalam konteks perkhidmatan haji, Tuan Haji Mohd Hisham menjelaskan bahawa objektif utama penyediaan pakej melalui PJH ialah memberi pilihan kepada bakal haji mengikut kemampuan masing-masing, menyediakan perkhidmatan bernilai tambah, membuka peluang kepada agensi pelancongan Bumiputera Muslim, dan memperkukuh peranan TH sebagai penyelaras utama pengurusan haji negara. Pakej yang ditawarkan meliputi kemudahan bimbingan, keselesaan serta ketenangan kepada jemaah sepanjang berada di Tanah Suci. TH turut memaklumkan bahawa terdapat pakej ekonomi bawah RM55,000 yang masih memenuhi piawaian perkhidmatan yang ditetapkan. Hotel mungkin lebih kecil, namun jaraknya masih dekat dengan Masjidil Haram dan perkhidmatan asas tetap terjamin.
Untuk memudahkan masyarakat membuat pilihan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini telah melancarkan e-Brosur Pakej Haji 1447H yang menyenaraikan semua PJH berlesen dan butiran pakej masing-masing. Maklumat ini boleh diakses melalui laman rasmi TH.

Mengenai pemantauan pakej haji yang ditawarkan oleh PJH, TH menjelaskan bahawa semua pakej dipantau melalui sistem pendigitalan yang dilancarkan semasa majlis penyerahan lesen PJH. Melalui sistem ini, TH meneliti kemudahan yang ditawarkan, harga pakej serta kesesuaian perkhidmatan agar selaras dengan standard yang ditetapkan. Bahagian Agensi Haji, yang diketuai oleh Tuan Haji Anuar Ahmad, menjalankan pemantauan ini secara berterusan.
Dalam sesi soal jawab, TH turut menjelaskan bahawa permintaan terhadap pakej PJH semakin meningkat berbanding perkhidmatan muassasah. Antara faktor yang menarik minat jemaah ialah perkhidmatan lebih bersifat peribadi, jumlah jemaah lebih kecil bagi setiap kumpulan, serta lokasi penginapan yang kebiasaannya lebih dekat dengan Masjidil Haram berbanding penginapan muassasah.
KHUP4 dijangka menarik antara 16,000 hingga 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, berdasarkan rekod sambutan tahun-tahun sebelumnya. TH menyediakan perkhidmatan shuttle dan sistem trafik yang lebih tersusun bagi memastikan kelancaran pergerakan pengunjung.
Sebelum mengakhiri sesi media, Tuan Haji Mohd Hisham menyeru semua PJH agar memanfaatkan platform KHUP4 untuk memperkenalkan pakej masing-masing secara proaktif, menyediakan maklumat jelas dan membantu pengunjung memahami nilai tambah yang ditawarkan. TH optimis bahawa KHUP4 akan terus memperkukuh ekosistem haji negara serta memberi manfaat besar kepada para Dhuyufurrahman yang bakal menunaikan ibadah mulia pada musim 1447H kelak.



