TAWAU, – Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) hari ini menamakan Samsiah Usman sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN N70 Kukusan, menggantikan penyandangnya Datuk Rina Jainal yang digugurkan selepas digantung jawatan dan keahliannya oleh parti itu.
Pemilihan Samsiah dibuat selepas PHRS yang diberikan peruntukan kerusi Kukusan di bawah kuota GRS membuat keputusan mengejut tiga hari sebelum penamaan calon, apabila Rina digantung serta-merta atas isu dalaman parti.
Pengguguran itu mencetuskan spekulasi dan dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkenalkan muka baharu untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Dalam kenyataannya hari ini, Samsiah menyifatkan pelantikan sebagai calon sebagai satu detik bersejarah dalam hidupnya sebagai anak kampung yang mahu menabur bakti di Kukusan.
“Jalan telah Allah bukakan. Semoga peluang ini menjadi batu loncatan untuk saya memperbaiki diri dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Samsiah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas kepercayaan yang diberikan kepadanya, serta kepada Presiden PHRS, Tan Sri Liew Yun Fah yang dikatakannya sentiasa memberikan sokongan tanpa putus sejak awal.
“Terima kasih kepada semua pimpinan yang memberi keyakinan kepada saya. Saya, Samsiah Usman, bersedia berkhidmat untuk rakyat DUN N70 Kukusan,” jelasnya.
Dengan pengumuman ini, PHRS kini menampilkan calon baharu untuk mempertahankan Kukusan, sekaligus menutup spekulasi mengenai kedudukan kerusi tersebut selepas pengguguran Rina.



