KUALA LUMPUR – Majlis Menteri Besar SG4 yang dianggotai oleh negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan bahawa segala sumber mineral nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) yang terdapat di dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri.
Ini sebagaimana termaktub di bawah Jadual Ke-9, Perlembagaan Persekutuan. Dengan gabungan empat negeri ini mewakili 70 peratus sumber REE terbesar negara.
Justeru, SG4 komited untuk memastikan hasil kekayaan bumi ini diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan generasi akan datang.
SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.
“Namun, kami juga menuntut agar pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE.
“Pengurusan dan pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,” kata keempat Menteri Besar Pas dalam kenyataan bersama pada Khamis.
Jelasnya, SG4 berpandangan bahawa pembangunan industri REE negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat.
“Hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya.
“SG4 juga menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan,” tegas SG4.
Mengulas lanjut, setiap negeri di bawah SG4 kini melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE yang diselaraskan secara bersama.
“Pelan ini meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan.
“Polisi semasa juga menetapkan mineral kritikal ini kekal di dalam SG4 dengan menarik penyertaan pelbagai pihak industri dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri.
“Selari dengan Aspirasi Persekutuan SG4 juga menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia.
“Kami memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh dari penerokaan hingga kepada pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan REE yang bernilai tinggi.
“Namun demikian, SG4 menegaskan bahawa sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri,” kata SG4.



