KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka menyertai semula Umno sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung bulan depan.
Sumber berkata bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM sudah mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi Umno khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali ke pangkuan parti itu.
Isyarat restu itu disampaikan sendiri Timbalan Perdana Menteri kepada Khairy atau KJ ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu lapor BH pada Khamis.
“Pada pertemuan itu Zahid sendiri memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli Umno.
“Khairy dijangka membantu kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah nanti. Ini memandangkan sebahagian calon yang bakal ditampilkan parti nanti adalah seusia dan rakan-rakan politiknya,” katanya.
Sumber itu berkata, Khairy juga dikatakan sudah dipertimbangkan untuk dinamakan sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mewakili kawasan Parlimen Kepala Batas.
“Parlimen itu adalah kawasan tradisi bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Sementara itu, sumber parti yang dihubungi memaklumkan, setakat hari ini, Umno belum menerima sebarang surat permohonan daripada Khairy untuk menyertai semula parti.
Penyertaan semula Khairy ke dalam Umno dijangka memberi momentum baharu kepada hala tuju parti itu yang kini berusaha menambat kembali sokongan orang Melayu, khususnya anak-anak muda.
Pada Januari 2023, Khairy dipecat dari Umno ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15, namun sejak itu, beliau berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaannya kepada Umno.
Pada PRU15, Khairy yang dipertaruhkan BN di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Parlimen Sungai Buloh, biarpun tewas, masih mampu meraih undi memberangsangkan, selain memecah dominasi undi besar diperoleh PH di sana.
Sementara itu dalam laporan FMT Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Khairy Jamaluddin masih menaruh kasih dan kesetiaan mendalam terhadap Umno.
Reezal berkata, beliau sendiri bertemu bekas Ahli Parlimen Rembau itu baru-baru ini yang turut disertai Presiden Umno Zahid Hamidi dalam satu majlis perkahwinan di Perlis.
“Saya ada masa kenduri itu, saya ada sekali dengan dia, saya duduk dengan dia. Cuma satu benda saya boleh maklumkan memang kasih dan cinta Khairy ini hanya pada Umno sahaja. Itu saya boleh sahkan.
“Tapi (berkaitan dakwaan sertai semula Umno) bukan keputusan saya, keputusan pimpinan atasan dan keputusan MKT dan saya tidak bolehlah mendahului,” kata ketua Umno Kepala Batas kepada portal itu.
Mengulas spekulasi Khairy mungkin bertanding di kerusi itu jika kembali ke pangkuan Umno, Reezal enggan mengesahkan perkara berkenaan.
“Itu pun saya tak dapat nak sahkan. Saya ini ahli parti kan…benda itu akan ditentukan oleh pimpinan di peringkat atas,” katanya.
Bagaimanapun, Reezal menzahirkan harapan usaha membawa Khairy kembali ke dalam Umno menjadi kenyataan.



