Jalan tutup berperingkat bukan lockdown, lokasi dikawal ikut piawaian keselamatan antarabangsa – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Penutupan sementara jalan akan dilakukan secara berperingkat, bukan lockdown.

Justeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan, orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya, terutamanya di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hotel-hotel penginapan rasmi para delegasi.

Jelas Saifuddin, keselamatan ketua kerajaan dan delegasi antarabangsa adalah keutamaan utama.

“Setiap lokasi telah dikenal pasti dan dikawal rapi mengikut piawaian keselamatan antarabangsa.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa perbezaan pandangan atau aktiviti masyarakat sivil tetap diiktiraf sebagai hak dalam sistem demokrasi.

“Namun, kerjasama dengan pasukan keselamatan amat penting agar imej Malaysia sebagai tuan rumah kekal terpelihara di mata dunia,” tegas beliau.

Sementara itu beliau berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Kuala Lumpur, dan Ketua Polis Selangor dalam menyelaras operasi besar ini.

Saifuddin memberitahu, Kuala Lumpur bersedia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang bakal menghimpunkan 23 ketua kerajaan dari seluruh rantau minggu ini.

“Saya telah menerima taklimat penuh daripada Ketua Polis Negara mengenai tahap kesiapsiagaan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) — dan saya yakin, persiapan kini berada pada tahap terbaik.

“Sebanyak 10,400 anggota polis ditugaskan khas untuk memastikan keselamatan sepanjang sidang kemuncak berlangsung. Latihan dan dry run telah dilaksanakan sejak 16 Oktober bagi memastikan kelancaran setiap laluan protokol, termasuk ketibaan tetamu melalui KLIA dan Subang.

“Sidang Kemuncak ASEAN bukan sekadar acara diplomatik ia lambang keupayaan dan keyakinan dunia terhadap Malaysia sebagai negara selamat, stabil dan teratur di bawah Kerajaan Madani,” kata Menteri KDN itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat