KUALA LUMPUR – Garis panduan dan amalan sedia ada membabitkan penyajian alkohol dalam penganjuran acara di dewan sekolah terpakai seperti dibangkitkan di Dewan Rakyat, semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet hari ini.
Katanya, berikutan itu, tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia ada.
“Pertama, dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dibincangkan mengenai isu sekolah dan penganjuran acara yang ada menyediakan, menyajikan minuman beralkohol.
“Jemaah Menteri diingatkan dan memutuskan garis panduan serta amalan sedia ada adalah terpakai tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia.
“Mungkin di beberapa media ada perkara yang ingin ditanya tapi Kementerian Pendidikan (KPM) akan menerbitkan kenyataan susulan kepada sidang media ini dan saya minta rakan-rakan media untuk rujuk dengan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di Putrajaya lapor BH pada Jumaat.
Fahmi bagaimanapun tidak menjelaskan apa garis panduan berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, membidas aktiviti pesta arak dalam kawasan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Ipoh pada 27 September lalu.
Beliau dilaporkan berkata, walaupun dianjurkan selepas sesi persekolahan namun acara itu jelas melanggar peraturan biarpun membabitkan penganjuran oleh pihak luar.
Perdana Menteri berkata, walaupun acara berkenaan selepas waktu sekolah, dewan sekolah tidak harus digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan.



