KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak boleh mengelak daripada ditinggalkan MIC, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi.
Speaker DUN Johor itu juga mengingatkan banyak parti sudah tinggalkan BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“MIC akan keluar BN bulan hadapan. Itu pendedahan Datuk Seri Tajuddin Rahman. MIC tidak menafikannya. Jika benar, Vigneswaran dan Saravanan telah mencipta sejarah kerana bawa MIC keluar dari BN.
“BN memang tidak boleh mengelak untuk ditinggalkan. Banyak parti tinggalkan BN selepas PRU ke 14.
“Bahkan ada yang meninggalkan Umno secara berkumpulan dan individu. Itu tidak membunuh BN,” tegas Puad yang juga Adun Rengit.
Menurut beliau, ini masa terbaik membina semula BN pasca 2018.
“BN masih ada friends of BN yang juga mewakili kaum India seperti Makkal Sakti, MIUP, PPP, Parti Punjabi dan KIMMA.
“MIC membantah parti parti tersebut menjadi ahli penuh BN. Sedangkan MIC sendiri gagal menarik sokongan orang India kepada BN. Maka biarlah MIC pergi.
“Tidak mungkin MIC bergerak solo. Ia masih memerlukan sokongan orang Melayu. Bolehkah MIC mendapat sokongan Melayu melalui PN. Jangan nanti yang dikejar tidak dapat yang dikendong keciciran.
“BN jalan terus,” ujar Puad.



