Hanya minta kesaksamaan, tidak pernah sesekali tuntut kekebalan – Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, beliau tidak pernah menuntut sebarang kekebalan daripada setiap pendakwaan jenayah yang dikenakan terhadapnya, sebaliknya memohon kesaksamaan dalam perlindungan undang-undang.

Najib berkata, hakikatnya hanya beliau seorang yang didakwa bagi kesalahan dilakukan oleh orang lain berkait empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pekan itu, pihak pendakwaan membuat pelbagai insinuasi termasuk teori tanggungan jenayah bersama yang tidak pernah diketahui sebelum ini, seperti ‘teori imej cermin’, bahawa tindakan orang lain boleh dianggap sebagai tindakannya sendiri.

Beliau berkata, bahkan, tiada seorang pun termasuk pendakwaan, yang mengetahui asas perundangan sebenar untuk menyatakan bahawa arahan orang lain adalah perlu dipertanggungjawabkan ke atas dirinya.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, ia jelas menunjukkan sifat apakah pendakwaan terhadap dirinya, sedangkan individu lain dibiarkan (bebas) di luar kandang tertuduh, hanya untuk dimasukkan ke kandang saksi bagi memberikan keterangan terhadapnya.

Sementara itu, Najib berkata, bagaimana mungkin beliau dapat menyediakan pembelaan jika setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya tidak tetap dan berubah-ubah.
“Adakah saya dipertuduh atas satu perbuatan, atau beberapa? Atas satu keputusan, atau beberapa keputusan, atas satu peranan, atau semua peranan yang pernah saya pegang? Pertuduhan ini mengelirukan dan memudaratkan.

“Jika pendakwaan yang bersifat ‘berganda’ sebegini dibenarkan, maka tiada sesiapa pun, sama ada seorang perdana menteri atau rakyat biasa, akan dapat memastikan apakah sebenarnya tuduhan perlu dijawab dan tanpa kepastian itu, mana mungkin wujudnya keadilan.

“Sebagai bekas Perdana Menteri, saya tidak pernah menuntut sebarang bentuk kekebalan, jauh sekali, saya hanya menuntut kesaksamaan, hak untuk diberikan perlindungan undang-undang seperti mana-mana individu lain yang dibicarakan sebelum saya,” katanya lapor BH di Putrajaya pada Selasa.

Najib berkata demikian melalui kata pengantar yang dibacakan daripada kandang tertuduh, pada awal prosiding hujahan di akhir kes pembelaan tuduhan penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Najib turut menyatakan setiap pertuduhan jenayah pada umumnya mestilah bersifat spesifik.

“Mengapa? Kerana ia dengan jelas menyatakan kepada orang yang dituduh; inilah kesalahan yang dilakukan, inilah masanya dan inilah caranya. Tanpa penjelasan itu, tidak akan berlaku perbicaraan yang adil, hanya kekeliruan,” katanya.

Bekas Presiden Umno itu berkata, mahkamah tidak pernah bertolak ansur dengan keadaan sedemikian, tetapi bagi kesnya, pendakwaan berterusan meminta berulang kali untuk melonggarkan peraturan itu dengan memutar tafsir keputusan terdahulu.

Katanya, setiap tuduhan dikenakan terhadapnya menyembunyikan dakwaan lain, yang memaksanya untuk bermain teka-teki.

Najib selanjutnya menyatakan, penelitian terperinci terhadap keseluruhan bukti dalam kes itu jelas menunjukkan pihak pendakwaan hanya bergantung sepenuhnya kepada keterangan ‘dengar cakap’.

Beliau berkata, pendakwaan bahkan tidak memenuhi prasyarat asas bagi penerimaan keterangan `dengar cakap’ yang bersifat prejudis, dan tiada sebarang usaha dibuktikan dalam usaha mereka mencari mana-mana saksi penting terutama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Setakat rekod yang ada, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah sekalipun menyebut adanya percubaan untuk mengesan mereka sebelum memohon mahkamah ini membuat penentuan bahawa mereka sememang tidak dapat ditemukan.

“Adalah jelas mengapa keterangan dengar cakap itu ingin diterima masuk; ia adalah bagi membuktikan kebenaran dalam pernyataan diberikan Jho Low, Datuk Azlin (bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias) atau Nik Faisal (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, yang jika tidak, akan kekal sebagai ditolak, iaitu bahawa arahan atau perintah didakwa itu kononnya berpunca daripada saya,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Prosiding bersambung pada sebelah petang.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat