KUALA LUMPUR – Gabungan parti-parti politik di luar blok kerajaan yang terdiri daripada 11 parti bersepakat membentuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan tema perjuangan “Selamatkan Malaysia”.
Menurut kenyataan IPR, gabungan 11 parti luar blok kerajaan itu berperanan membincangkan mengenai pelbagai isu negara yang gagal ditangani Kerajaan Madani.
“Gabungan parti-parti politik di luar blok kerajaan mengadakan sidang meja bulat petang Selasa untuk meneruskan perbincangan mengenai pelbagai isu negara yang gagal ditanggani oleh Kerajaan Madani.
“Ini adalah sidang yang kedua susulan Sidang Pertama pada 18 Ogos 2025 yang lalu.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah Belanjawan 2026, RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA), perkembangan genosid di bumi Gaza, keselamatan anak-anak di sekolah dan Akta Perolehan Kerajaan,” kata 11 parti gabungan itu.
Jelasnya, IPR membincangkan Belanjawan 2026 Kerajaan Madani dan mendapati belanjawan ini tidak mengurangkan bebanan rakyat dalam situasi ekonomi yang amat mencabar.
Tegas IPR, hutang negara yang mencecah RM1.6 trilion tidak dapat menampung perbelanjaan untuk pembangunan baru manakala hasil dan pendapatan negara juga tidak meningkat.
Justeru, IPR berpendirian tegas bahawa Kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 pada hujung bulan ini memandangkan Trump adalah sekutu utama dalam melakukan genosid dan pendukung kuat jenayah kemanusiaan yang dilancarkan oleh Zionis Israel terhadap rakyat Palestin termasuk di bumi Gaza.
“Hubungan ekonomi di antara Malaysia dan Amerika Syarikat tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima Trump sebagai tetamu negara di pentas ASEAN yang merupakan blok negara-negara yang senantiasa mendukung prinsip negara hukum dan memelihara keselamatan dan nyawa manusia.
“IPR juga mendukung usaha rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla untuk membawa mesej perdamaian dan membawa bekalan makanan, perubatan bagi rakyat Gaza.
“Selain itu, IPR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang menghalang kemasukan wira-wira negara untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.
“Malaysia mesti mengambil pendirian yang tegas untuk mengembalikan kedaulatan negara dan rakyat Palestin,” katanya.
Sidang meja bulat ini juga membincangkan mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar dan mengambil pendirian RUU ini wajib ditolak
Dalam pada itu, IPR memandang serius isu keselamatan anak-anak di sekolah yang melibatkan kes buli, keganasan, rogol dan bunuh.
“Kejadian jenayah ini mesti dihentikan serta merta dan Kementerian Pendidikan bertanggungjawab untuk merombak semula sistem
pendidikan.
“Sekolah adalah tempat yang paling selamat untuk menimba ilmu dan juga
membentuk generasi yang memiliki akhlak yang mulia dan nilai hormat yang tinggi.
“Hal demikian, IPR mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan bagi mengawal penularan bahan-bahan yang berunsur jenayah, keganasan dan buli dalam media sosial,” tegasnya.
Susulan itu, mesyuarat berkenaan mengambil ketetapan untuk menganjurkan Kongres Nasional Ikatan Prihatin Rakyat pada awal tahun 2026 bagi menegaskan pendirian IPR dalam menanggani isu-isu rakyat dan menyelamatkan Malaysia dari terus terhumban dan tercicir dalam persaingan
rantau dan global.
“Sekretariat IPR ditubuhkan untuk melihat konsep dan semua aspek kehidupan masyarakat untuk dibincangkan dalam kongres ini,” ujarnya.
Kenyataan bersama itu disepakati antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Presiden Parti Berjasa (Berjasa), Zamani Ibrahim.
Turut serta, Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali; Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz; Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy; Pemangku Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohd Ismail Mohd Ibrahim dan Pengerusi Interim Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Profesor Dr P Ramasamy.



