UMNO Kalabakan percaya Andi Suryady akan pertahankan DUN Tanjung Batu atas tiket GRS

KALABAKAN — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, hampir pasti akan mempertahankan kerusinya atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sumber dalaman memberitahu Suara.TV bahawa keputusan itu diambil selepas Andi tidak lagi disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN), sekaligus mengukuhkan khabar bahawa beliau bakal menyertai GRS secara rasmi dalam masa terdekat.

Langkah tersebut bagaimanapun boleh menyebabkan Andi hilang status sebagai Ahli Parlimen Kalabakan berdasarkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, yang memperuntukkan kehilangan kelayakan bagi mana-mana wakil rakyat yang bertukar parti politik semasa penggal Parlimen masih berjalan.

Namun, kem Andi dikatakan tidak gentar dengan risiko itu, malah yakin beliau mampu memenangi semula kerusi Parlimen Kalabakan sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Andi mempunyai asas sokongan kukuh di Kalabakan dan Tanjung Batu. Sekiranya berlaku PRK, kami yakin rakyat tetap akan memilih beliau kerana kerja nyata dan hubungan rapat dengan masyarakat,” kata sumber rapat kepada Suara.TV.

Difahamkan, Andi memilih untuk kekal di DUN Tanjung Batu kerana kawasan itu merupakan pangkalan politiknya sejak 2020, sebelum beliau menang kerusi Parlimen pada PRU15.

Dalam PRN Sabah 2020, Andi menang dengan 4,728 undi, menewaskan calon WARISAN Johad Afsar And Lati yang memperoleh 2,605 undi, dengan majoriti 2,123 undi.

Seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kalabakan bercakap atas syarat ketanpanamaan pula mendakwa mereka sudah menjangka langkah Andi menyertai GRS.

“Selain hubungan rapat dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Andi juga tidak lagi aktif dalam struktur parti dan tidak bertanding dalam pemilihan UMNO yang lepas,” kata beliau atas kepada Suara.TV, semalam.

Menurut AJK tersebut, BN Kalabakan dijangka akan menampilkan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, sebagai calon baharu di DUN Tanjung Batu bagi menggantikan Andi.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan jentera parti kekal tersusun dan akar umbi tidak terpecah dua menjelang PRN,” katanya lagi.

Sementara itu, Samasuddin Yusop ketika bercakap kepada Utusan Borneo menegaskan bahawa keutamaan perjuangan politik ketika ini bukan soal siapa menjadi calon, tetapi bagaimana memastikan kepentingan rakyat Tanjung Batu terus terbela dan pembangunan kawasan itu diteruskan.

Mengulas keputusan Datuk Andi Muhammad Suryady yang menyerahkan kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menentukan calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), Samasuddin berkata langkah itu wajar dihormati.

“Itu satu keputusan politik yang matang dan kami menghormatinya. Apa yang lebih penting sekarang ialah kesinambungan pembangunan dan kebajikan rakyat Tanjung Batu,” katanya.

Pemerhati politik menjangkakan langkah Andi menyertai GRS akan memberi kesan besar terhadap peta politik pantai timur Sabah, khususnya dalam hubungan antara BN dan GRS menjelang PRN yang dijangka diadakan tidak lama lagi. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat