Pulihara dan lindungi burung hijrah – NRES

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dalam meningkatkan usaha memulihara dan melindungi burung hijrah dengan mewujudkan bandar dan komuniti yang lebih mesra burung hijrah.

NRES dalam kenyataan berkata, usaha ini sejajar dengan komitmen Malaysia sebagai national focal point East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP), yang menekankan kepentingan habitat yang selamat dan mampan bagi spesies burung hijrah yang singgah di negara ini setiap tahun.

“Proses urbanisasi yang tidak dirancang dengan baik boleh menyumbang kepada kehilangan habitat dan seterusnya mengurangkan tempat persinggahan burung hijrah untuk bersarang dan mendapatkan makanan.

“Dalam hal ini, perancangan bandar yang mampan serta penglibatan komuniti boleh membantu usaha konservasi ini, antaranya melalui langkah praktikal dengan mengurangkan pencemaran cahaya, menanam pohon dan tumbuhan daripada spesies asli.

“Ia menjadikan tingkap bangunan lebih jelas bagi mengelakkan pelanggaran dan mendatangkan kecederaan kepada burung hijrah,”kata kenyataan itu.

Katanya, bersempena Sambutan Hari Burung Hijrah Sedunia pada setiap bulan Mei dan Oktober, komitmen tersebut diserlahkan bertemakan “Ruang Bersama: Mencipta Bandar dan Komuniti Mesra Burung” (Shared Spaces: Creating Bird-Friendly Cities and Communities).

“Melalui tema ini, ia memberi penekanan kepada kepentingan mewujudkan persekitaran bandar dan komuniti sebagai
tempat yang selamat untuk burung hijrah.

“Sebagai tanda komitmen negara dalam usaha konservasi burung hijrah dan habitatnya, Malaysia telah menyertai EAAFP sejak tahun 2012.

“Bako Buntal Bay, Sarawak yang merupakan tempat persinggahan lebih 20,000 ekor burung hijrah telah diiktiraf sebagai EAA Flyway Network Site Malaysia yang pertama pada tahun 2013, ”katanya lagi.

Ujarnya, sebagai national focal point EAAFP, NRES juga mengalu-alukan usaha Kerajaan-kerajaan Negeri yang mengambil inisiatif melindungi burung hijrah serta mencalonkan Flyway Network Site baharu.

“EAAFP yang ditubuhkan pada 6 November 2006 adalah bertujuan untuk meningkatkan kerjasama, koordinasi dan aktiviti di peringkat antarabangsa untuk memulihara dan melindungi burung hijrah, habitat dan komuniti manusia yang bergantung dengannya.

“Pengiktirafan ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia sebagai sebahagian daripada 19 buah negara yang berada di salah satu laluan utama burung hijrah yang dikenali sebagai EAAF daripada Timur Rusia dan Alaska, Asia Timur dan Asia Tenggara sehingga ke Australia dan New Zealand, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, NRES akan terus memperkukuh dasar dan program berkaitan biodiversiti bagi memastikan kelangsungan habitat semula jadi dan menyokong ekosistem yang lebih seimbang demi kesejahteraan bersama.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat