KUALA LUMPUR – Pas mengingatkan Kerajaan Madani bahawa diplomasi bukanlah ketundukan atau kepasrahan sebaliknya, kesediaan untuk membina persefahaman tanpa menggadai prinsip dan maruah sendiri.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas percaya bahawa Parlimen Malaysia perlu bersikap proaktif dan tidak boleh berdiam diri dalam isu sepenting ini.
“Pas merujuk kepada laporan mengenai penahanan 23 orang rakyat Malaysia bersama-sama peserta dari negara lain misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) secara salah dan tidak sah oleh tentera rejim Israel ketika dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.
“Tindakan ini adalah pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva, selain merupakan penghinaan terhadap usaha kemanusiaan global yang dijamin oleh konvensyen antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu tegas beliau, Pas mendesak Kerajaan Malaysia supaya segera mengadakan sesi khas sempena sidang Parlimen yang akan bermula 6 Oktober ini bagi membolehkan insiden ini dan isu-isu berkaitan dibahaskan, sekali gus membolehkan satu ketetapan rasmi Parlimen dibuat sebagai suara kolektif seluruh rakyat Malaysia oleh para wakil rakyat mereka.
“Wisma Putra bertindak segera melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa untuk memastikan keselamatan serta pembebasan semua rakyat Malaysia dan peserta lain yang ditahan.
“Kerajaan Malaysia memimpin inisiatif serantau dengan menggesa ASEAN, OIC dan PBB untuk mendesak dan memastikan Israel menghentikan sekatan dan ancaman terhadap misi kemanusiaan yang sah,” jelas beliau yang pengamal undang-undang.
Takiyuddin menyatakan, solidariti kemanusiaan dan pembelaan hak rakyat Palestin adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang kepercayaan.
“Justeru kami menuntut, sekali gus menyokong penuh tindakan tegas dan segera kerajaan dalam isu ini. Israel mesti dipertanggungjawabkan dan suara Malaysia mesti jelas didengar di pentas dunia sebagai langkah diplomatik kita dalam membela hak sah rakyat Palestin dan inisiatif kemanusiaan global bagi membantu mereka yang teraniaya.



