RON95 tanpa subsidi RM2.60 seliter kekal sebulan, nanti mula gerak harga pasaran global

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan harga RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter sebagai harga permulaan, yang akan dikekalkan selama sebulan bagi memberi masa kepada pengguna menyesuaikan diri.

Jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan selepas tempoh itu, harga petrol tanpa subsidi itu akan mula bergerak secara mingguan mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM), sama seperti pelaksanaan harga diesel sebelum ini.

“Selepas sebulan, harga akan berubah setiap minggu berdasarkan harga pasaran global. Kalau harga minyak dunia naik, ia akan naik; kalau turun, harga di sini pun akan turun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Ekonomi Dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 bertemakan Rancangan Malaysia Ke-13: Melakar Semula Pembangunan lapor BH pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada harga RON95 tanpa subsidi yang ditetapkan pada RM2.60 seliter kekal meskipun harga minyak mentah dunia meningkat.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, berdasarkan pengalaman pelaksanaan penyasaran semula diesel yang pada awalnya dilancarkan pada kadar RM3.35 seliter, namun kini turun kepada sekitar RM2.93 seliter, mencerminkan penurunan harga minyak mentah dunia.

Beliau menegaskan pendekatan yang diambil kerajaan itu adalah bagi memastikan rakyat menikmati harga yang lebih adil serta telus, sejajar dengan pergerakan pasaran antarabangsa.

Mengenai pelaksanaan BUDI Madani RON95 (BUDI95) setakat ini, Amir Hamzah berkata, sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia itu berjalan lancar.

Beliau berkata, hampir 1.5 juta pengguna telah menikmatinya sejak ia dibuka terlebih dulu khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu lalu dan kemudiannya pada Ahad diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, Kerajaan Madani akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter.

Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan Madani mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.

Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Semua warga negara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat