Oleh Zihan Zari
KULIM – Biarpun usianya yang sudah 51 tahun, bukan penghalang buat bapa kepada empat anak, Zainal Abidin Abdul Talib berusaha untuk menuntut ilmu, kini mampu tersenyum bangga apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajian di Politeknik Sultanah Bahiyah (PTSB).
Zainal Abidin menanamkan dalam dirinya supaya sentiasa mahu belajar dan belajar lagi untuk mempertingkat diri, telah membuktikan semangat belajar sepanjang hayat sehingga dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Diploma Telekomunikasi Profesional dalam Sidang Pertama Majlis Konvokesyen ke-19, PTSB, dekat sini pada Ahad.
Beliau telah menerima penganugerahan yang berprestij itu daripada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi,
Dr. Shamsuri Abdullah.
Kejayaan Zainal Abidin menamatkan pengajian itu menyaksikan beliau muncul graduan paling berusia pada majlis konvokesyen itu dengan meraih pencapaian rekod Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dengan catatan 4.00 dan kelulusan cemerlang dalam Sijil Profesional Working At-Height (WAH) serta Kompetensi Fiber Optik (CA1C, CA2C).
Zainal Abidin pernah berkhidmat sebagai juruteknik Ericson di Indonesia mempunyai beberapa kemahiran dan nilai tambah dimilikinya, menjadi ikon teladan kepada pelajar muda.
Beliau digelar ‘kamus bergerak’oleh rakan-rakan kerana kepakarannya sebagai penterjemah yang baik, mempunyai ciri-ciri yang boleh diteladani dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk meningkatkan motivasi diri, selain itu dikenali sebagai seorang yang rendah hati dan gemar membantu rakan sekelas.
Lebih menarik, beliau kini menjadi pesaing akademik kepada dua anaknya yang sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian di PTSB. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat sehingga saya mampu menamatkan pengajian dengan baik, ”kata Zainal Abidin.
Berkongsi lanjut kejayaan itu, beliau berkata, jangan mudah berpuas hati dengan sekelumit ilmu yang anda miliki.
“Menyambung pengajian pada usia
menginjak tua bukan mudah tetapi ia antara cabaran harus ditempuh. Untuk mencapai kemajuan dan peradaban yang tinggi hendaklah dengan ilmu,”katanya.
Katanya lagi, sebagaimana riwayat Imam al-Baihaqi dalam kitab Manaqib al-Syafie yang menyebut: “Barangsiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu. Dan barangsiapa yang menginginkan akhirat maka hendaklah dengan ilmu”- (Manaqib Imam al-Syafie).
Dalam pada itu, pihak Syarikat G2R Sdn. Bhd. merakamkan tahniah dan menganggap kejayaan Zainal Abidin sebagai inspirasi kepada generasi muda untuk terus menimba ilmu dan menguasai kemahiran industri.-SUARA.TV



