CYBERJAYA – Tentera Darat Malaysia (TDM) menyatakan kesediaan untuk digerakkan dalam mana-mana operasi pengaman antarabangsa, termasuk sekiranya diperlukan di Gaza, Palestin.
Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menjelaskan bahawa sebarang penyertaan akan ditentukan kerajaan selepas menilai keberkesanan misi serta tahap keselamatan anggota. Penilaian itu akan turut melibatkan Kementerian Luar dan Markas Angkatan Bersama.
Beliau menambah, Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam operasi seumpama itu. Sejak 1960, pasukan negara pernah digerakkan ke Congo, selain terlibat di Somalia, Bosnia dan Kemboja.
Perkara itu disampaikan kepada media selepas beliau menghadiri majlis penutupan Persidangan Panglima Tentera Darat Indo-Pasifik (IPACC) ke-14, Seminar Pengurusan Tentera Darat Indo-Pasifik (IPAMS) ke-49 dan Forum Pemimpin Kanan Tentera Darat (SELF) ke-11 di ibu negara.



